DATUK Ong Kim Swee. -
Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Menjelang Sukan Asia Indonesia Ogos depan, sudah
ada kebimbangan dirasai jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong
Kim Swee.
Ini kerana beliau mengakui masih belum ada jaminan
untuk semua pemain yang akan disenaraikan nanti bakal mendapat pelepasan
pasukan masing-masing memandangkan temasya sukan itu berlangsung ketika kempen
Piala Malaysia bermula.
"Saya merancang untuk mengadakan latihan pusat terakhir
pada awal Ogos ini, kira-kira 10 hari sebelum pemain berangkat ke Indonesia.
Apa yang membimbangkan jika ada pemain tidak mendapat pelepasan pasukan.
"Jika semua pemain dapat melaporkan diri
bagi latihan pusat pada 1 Ogos, saya masih sempat untuk mengadakan satu
perlawanan ujian pada 6 Ogos. Cuma saya tidak tahu sama ada saya boleh dapat
mengumpul semua pemain memandangkan Piala Malaysia juga bakal bermula pada awal
Ogos," kata Kim Swee.
Melihat kepada situasi itu, persetujuan awal di
antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak pengurusan pasukan negeri
dan kelab perlu dicapai bagi mengelak insiden sama berulang kembali.
Ketika mempersiapkan pasukan menghadapi Kelayakan
Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B23 di Bangkok, Thailand pada Julai
tahun lalu, Kim Swee dikejutkan apabila hanya enam daripada 26 pemain yang
disenaraikan melaporkan diri.
Pemain kemudian berjaya dikumpul secara
berperingkat namun enam pemain utama Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (Johor Darul
Ta'zim), Syamer Kutty Abba dan S Kumaahran (Pulau Pinang) serta Matthew Davies
dan Nor Azam Azih (Pahang) tetap tidak mendapat pelepasan untuk bersama
pasukan.
Bagaimanapun dengan kesukaran itu, Kim Swee masih
berjaya membawa pasukan melepasi pusingan kelayakan sebelum melakar sejarah
mara ke suku akhir AFC B-23 di China awal tahun ini.
Kim Swee berkata, meskipun tempoh singkat dalam
mempersiapkan pasukan ke Sukan Asia kali ini namun itu bukan masalah buat
pemainnya.
"Tempoh 10 hari itu sebenarnya mencukupi andai
semua pemain dapat pelepasan bersama pasukan. Pemain tiada masalah dari segi
kecergasan kerana pemain melaporkan diri selepas saingan liga berjalan.
"Saya akan berbincang dengan FAM mengenai
perancangan pasukan minggu depan dan diharap kita akan dapat kerjasama baik
semua pihak," kata bekas jurulatih Harimau Malaya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan