TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
SIAPA saja yang bakal dipilih sebagai Presiden Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) selepas kongres ke-54 badan induk itu pada 14 Julai
ini wajib meletakkan kemajuan skuad kebangsaan sebagai agenda paling utama.
Apa tidaknya, ‘ngauman’ skuad Harimau Malaya sentiasa menjadi
Penunjuk Prestasi Utama (KPI) buat mana-mana Presiden FAM berbanding pencapaian
skuad lain termasuk Bawah 23 (B-23) tahun, B-19 dan juga skuad futsal.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan
perkara berkenaan adalah hakikat sebenar yang perlu diterima siapa saja bakal
mengisi kerusi panas itu nanti.
“Dalam pengurusan FAM, sesiapa saja yang memikul tugas presiden,
cabaran utama mereka adalah meletakkan skuad kebangsaan di peringkat paling
tinggi.
“Ia kerana kalau skuad kebangsaan gagal, maka orang akan anggap
presiden itu juga gagal walaupun beberapa kejayaan lain dalam skuad B-23 dan
B-19 atau futsal dicapai.
“Orang hanya akan melihat kepada pencapaian skuad senior
kebangsaan, jadi itu yang perlu diberi fokus sepenuhnya oleh presiden baharu
nanti selain pembangunan di peringkat skuad muda,” katanya.
Sehingga kini, tiga calon termasuk Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul
Azim Zabidi serta bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri
Annuar Musa sah mendapat pencalonan daripada ahli gabungan.
Melihat kepada laporan sebelum ini, banyak pihak memilih Hamidin
sebagai individu yang paling layak mengisi kekosongan ditinggalkan Tunku Ismail
Sultan Ibrahim berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun terbabit arena bola sepak.
Selain itu, Yusoff turut mengesahkan pihaknya akan menghantar
surat penerimaan pencalonan kepada semua calon dalam masa terdekat bagi
membolehkan mereka membuat keputusan sama ada menerima atau menolak pencalonan
nama mereka.
“Ia prosedur biasa dan calon perlu mengesahkan menerima atau
menolak pencalonan mereka untuk membolehkan kelancaran pemilihan nanti. Mungkin
minggu depan kita akan hantar surat penerimaan pencalonan.
“Kalau tanya saya sudah pasti saya kekal dengan pendirian
sebelum ini yang mana berharap tiada pertandingan berlangsung dalam perebutan
jawatan presiden kali ini.
“Bagi
saya, Hamidin sememangnya individu paling layak dan bola sepak sudah sebati
dalam diri beliau. Malah, jika ikut 18 pencalonan yang diterima juga,
beliau mungkin sukar dicabar calon lain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan