BEKAS pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menggesa agar Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menagih simpati pasukan negeri dan kelab untuk
melepaskan pemain bawah 23 tahun (B-23) beraksi di Sukan Asia di Indonesia pada
Ogos ini.
Ini kerana beliau berpendapat, jurulatih Datuk Ong Kim Swee
boleh menggunakan pemain B-21 untuk mengisi kekosongan andai ada pemain B-23
yang tidak dapat bersama pasukan.
“Setakat ini kita masih belum tahu sama ada pasukan akan
lepaskan pemain atau tidak untuk ke Sukan Asia tapi saya percaya akan timbul
konflik kerana tarikh Sukan Asia bertembung dengan kempen Piala Malaysia.
“FAM tidak ada kuasa untuk mengarahkan pasukan negeri atau kelab
melepaskan pemain kerana Sukan Asia tidak termasuk dalam kalendar FIFA. Jadi
daripada pening kepala memikirkan hal ini, adalah lebih baik Kim Swee beri
peluang kepada pemain lain.
“Kalau tak boleh guna pemain B-23 terbaik, guna pemain B-23
kedua terbaik. Kalau tak boleh juga, guna saja pemain B-21 sebagai pendedahan
untuk masa depan,” katanya.
Sukan NSTP semalam melaporkan kebimbangan Kim Swee mengenai
persiapan pasukannya kerana belum ada jaminan beliau akan dapat memanggil
pemain terbaik ke Sukan Asia memandangkan jadual bertindih dengan Piala
Malaysia.
Ketika mempersiapan pasukan menghadapi Kelayakan Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand pada Julai tahun
lalu, Kim Swee dikejutkan apabila hanya enam daripada 26 pemain yang
disenaraikan melaporkan diri pada hari pertama latihan pusat.
Bekas jurulatih kebangsaan itu sebelum ini berhasrat untuk
membawa skuad terbaik ke Sukan Asia selepas mereka melakar sejarah mara ke suku
akhir Kejohanan AFC B-23 di China awal tahun ini.
Serbegeth yang juga pengulas bola sepak di stesen televisyen
tempatan dan antarabangsa berkata, andai Kim Swee tidak dapat menurunkan skuad
terbaik, sasaran tinggi tidak seharusnya diletakkan dibahunya.
“Kalau
guna ramai pemain lebih muda, jangan pula kita letak sasaran tinggi, beri
tekanan kepada mereka. Kita kena sedar diri lah. Kalau kena belasah sekali pun,
itu harga yang perlu dibayar atas dasar pendedahan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan