AZIM mengakui masih
belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan Presiden FAM. - Foto
Saifullizan Tamadi
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengakui masih
belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) meskipun bersetuju namanya dicalonkan oleh Persatuan Bolasepak
Negeri Pahang (PBNP).
Beliau yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) dan
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, masih ada masa untuk
membuat keputusan sebelum mengesahkan untuk bertanding atau menarik diri
sebelum atau pada 14 Jun depan.
"Saya berterima kasih kepada PBNP dan Presidennya, Tengku
Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kerana memberi kepercayaan dengan mencalonkan
saya bertanding jawatan Presiden FAM di Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai ini.
"Bagi saya ini adalah amanah dan tanggung jawab besar dalam
usaha untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara yang rakyat mahukan.
Namun, banyak faktor yang perlu saya ambil kira sebelum mahu bertanding.
Saya perlu mendapatkan pandangan persatuan negeri sebelum saya
buat keputusan ingin bertanding atau tidak.
"Ini bukan perkara baharu, saya pernah diminta untuk
bertanding, tapi ketika itu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
bertanding, jadi saya rasa tidak perlu bertanding tapi sekarang kerusi itu
sudah dikosongkan," kata Azim pada sidang media, hari ini.
Azim dicalonkan PBNP semalam dan beliau bakal mencabar dua lagi
calon yang cukup berpengalaman dalam bola sepak tanah air iaitu Setiausaha
Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak
Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Hamidin mendapat 18 pencalonan daripada ahli gabungan manakala
Annuar disokong oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Dengan tugasnya bersama MOM dan ISN serta dilantik sebagai ketua
kontinjen negara ke Sukan Asia Indonesia Ogos depan, ada pihak meragui
kemampuannya untuk menerajui FAM.
Azim berkata, meskipun pengalamannya dalam sukan bola sepak
mungkin tidak sehebat dua lagi calon berkenaan, itu tidak bermakna beliau tidak
mampu menjalankan tanggungjawab andai mendapat mandat ahli gabungan.
"Setakat ini saya sudah dihubungi satu, dua negeri untuk
beri sokongan tapi ia belum cukup, jadi saya perlu melihat pandangan mereka
sebelum buat keputusan untuk bertanding. Andai dipilih, saya tidak ada masalah
untuk bekerja, sebelum terbabit dalam sukan, saya terbabit dengan syarikat
besar, dan saya tidak ada masalah membahagikan masa.
"Saya juga ada hubungan baik dengan persatuan negeri
walaupun tidak semua, tapi perkara ini boleh dilakukan menerusi
perbincangan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan