SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa.
FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PERSAINGAN sengit tiga penjuru bakal disaksikan bagi merebut
jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila Persatuan Bolasepak
Kuala Lumpur (KLFA) membuat keputusan mengejut mencalonkan Tan Sri Annuar Musa
pada saat akhir sebelum tempoh pencalonan ditutup hari ini.
Pencalonan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)
dan Timbalan Presiden FAM itu dibuat sehari selepas Persatuan Bolasepak Negeri
Pahang (PBNP) mencalonkan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri
Abdul Azim Mohd Zabidi untuk berdepan calon pilihan Exco FAM iaitu Setiausaha
Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, Annuar hanya
menyatakan persetujuan hari ini dan beliau percaya persaingan tiga penjuru itu
membuktikan proses demokrasi dalam FAM.
"Tan Sri Annuar Musa hanya bersetuju untuk bertanding pagi
tadi, tapi sebenarnya kami sudah berbincang sudah lama, namun beliau sibuk
dengan PRU (Pilihan Raya Umum) baru-baru ini. Jadi, bila semua sudah selesai,
baru beliau buat keputusan.
"Bagi saya ini satu pertandingan yang adil dan secara
demokrasi. Memang sebelum ini kami ada mencadangkan untuk mencalonkan Pemangku
Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra, namun atas kekangan tertentu, kami
terpaksa membatalkan hasrat itu," kata Nokman.
Ini bukan kali pertama Annuar dicalonkan bertanding merebut
kerusi nombor satu itu selepas beliau turut dicalonkan pada Kongres Pemilihan
FAM tahun lalu, namun menarik diri pada saat akhir bagi memberi laluan kepada
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, Nokman berharap Annuar yang dipilih semula sebagai
Ahli Parlimen Ketereh pada PRU, Rabu lalu bakal menetapkan pendirian untuk
terus bertanding kali ini dan mereka akan berusaha untuk menagih sokongan 19
lagi ahli gabungan pada pemilihan di Kongres Tahunan pada 14 Julai
depan.
"Sekarang ada pertandingan tiga penjuru, tapi apa saja
boleh berlaku. Kita harap Tan Sri Sri Annuar akan bertanding, kita ada dua
bulan untuk buat kerja. Kita akan lihat situasi bola sepak tanah air dalam
tempoh dua bulan ini.
"Kita percaya beliau calon yang bagus atas pengalamannya
bersama KAFA serta menubuhkan akademi bola sepak sendiri,"
katanya.
Sementara itu, Pemangku FAM Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan
badan induk itu menerima tiga pencalonan bagi jawatan presiden selepas tarikh
tutup hari ini.
"Ketiga-tiga calon ini perlu mengesahkan pencalonan
masing-masing sebelum atau pada 14 Jun 2018, iaitu sebulan sebelum Kongres FAM
ke-54 pada 14 Julai depan.
"Jika terdapat lebih seorang calon sah bertanding maka
undian pemilihan Presiden FAM yang baharu akan dijalankan, dan jika hanya
seorang calon, maka secara tidak rasminya beliau menang tanpa bertanding.
Pengumuman rasmi Presiden FAM baharu bagi penggal 2018-2021 hanya akan disahkan
pada kongres itu nanti," katanya.
Jawatan
Presiden FAM dikosongkan selepas Exco FAM pada 2 April lalu menerima peletakan
jawatan Tunku Ismail selepas setahun menerajui FAM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan