KEVIN Ramalingam. -
Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Zon penyingkiran Liga Perdana pada musim ini
dilihat akan mencuri tumpuan selepas hanya satu pasukan yang bakal tersingkir
ke saingan Piala Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) pada musim hadapan.
Ia susulan hanya 11 pasukan yang kekal bersaing dalam divisyen
dua itu musim ini selepas pasukan penuh kontroversi, Kuantan FA 'ditendang
keluar' akibat pembatalan penyertaan sekali gus menyaksikan pasukan di tangga
ke-11 bakal tersingkir pada musim hadapan.
Mengesahkan perkembangan itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL)
menjelaskan langkah untuk menyingkirkan satu pasukan sahaja disifatkan sebagai
pilihan terbaik berbanding cadangan untuk mengugurkan dua pasukan seperti
kebiasaan sebelum ini.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam
menyatakan ia bukanlah keputusan yang rasmi kerana keputusan muktamad hanya
dapat diputuskan dalam mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah yang dijadual
berlangsung bulan hadapan.
"Membabitkan cadangan untuk menggugurkan satu pasukan
sahaja, itu adalah kehendak pengurusan namun keputusan muktamad masih lagi
bergantung menerusi mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah MFL," kata
Kevin.
"Penyingkiran satu pasukan akan menyaksikan dua pasukan
akan dipromosi dari Piala FAM sama seperti sebelum ini jadi jika dua pasukan
Liga Perdana disingkirkan, sudah tentu kita perlu menaikkan tiga pasukan dari
Piala FAM musim hadapan.
"Perkara ini akan menimbulkan situasi yang lebih kompleks
terutamanya bagi menentukan satu lagi pasukan yang akan mengiringi dua pasukan
yang dipromosi secara automatik."
Mengulas lanjut mengenai kebarangkalian saingan Liga Perdana
akan bertukar kurang sengit susulan hanya satu pasukan yang akan tersingkir,
Kevin menegaskan situasi itu tidak akan berlaku.
"Kalau kita lihat sendiri, kedudukan beberapa pasukan di
tangga tercorot adalah begitu rapat jadi sudah tentu mereka akan berusaha keras
untuk mengelak daripada zon penyingkiran.
"Untuk itu, saingan akan tetap sengit kerana pasukan akan
terus menyajikan persembahan yang terbaik demi mengutip mata sekali gus
memperbaiki kedudukan masing-masing," katanya.
Setakat ini, kedudukan Liga Perdana menyaksikan Terengganu FCII
(TFC) menghuni tangga kesembilan dengan 10 mata, Johor Darul Ta'zim (JDTII) di
tangga ke-10 dengan tujuh mata, berkongsi jumlah pungutan mata yang sama dengan
UKM FC di tangga ke-11 namun berkelebihan daripada segi perbezaan jaringan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan