PERSAINGAN merebut Anugerah Kasut Emas semakin rancak dalam
kalangan pemain ketika saingan bola sepak Liga Super menghampiri pusingan
kedua.
Namun malangnya kerancakan itu tidak membabitkan pemain tempatan
selepas kedudukan 10 penjaring terbanyak setakat ini jelas didominasi penyerang
import.
Selepas perlawanan kesembilan liga, penyerang Selangor kelahiran
Sepanyol berusia 33 tahun, Rufino Segovia muncul penjaring terbanyak dengan
tujuh gol diikuti lima pemain berkongsi enam gol iaitu Gilmar (Perak), Yahor
Zubovich (Melaka United), Kipre Tchetche (Terengganu) dan Sandro Da Silva
Mendonca (Kedah).
Pemain terbaik tempatan ketika ini adalah penyerang muda Johor
Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rashid yang meledak tiga gol untuk berkongsi
kedudukan dengan tujuh lagi pemain import di kedudukan ke-13.
Bagi bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew, jurang pemain import
dan tempatan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kecenderungan pasukan
untuk memberi lebih peluang kepada pemain luar beraksi.
“Ini sudah boleh dijangka, kebanyakan pasukan menggunakan
penyerang import. Mana-mana pasukan akan bimbang jika penyerang import mereka
tidak menjaringkan gol, tapi kalau penyerang tempatan, ia tidak menjadi isu.
“Kita lihat dalam tempoh lima bulan ini, jika ada pemain import
tak menyerlah, pasukan akan kelam kabut tukar, tapi kalau pemain tempatan tak
menyerlah, kita tak akan cari lain,” katanya.
Gelaran penjaring terbanyak Liga Super sudah dikuasai pemain
import selepas kali terakhir diungguli pemain tempatan Abdul Hadi Yahya dari
Terengganu pada 2011.
Sehubungan itu, Chan Yew berharap akan ada perubahan positif
buat pemain tempatan pada saingan kedua liga terutama membabitkan penyerang
muda.
“Setakat
ini penyerang yang kerap diberi peluang beraksi adalah Safawi, Ahmad Hazwan
Bakri (JDT) jadi kita berharap pemain lain seperti Firdaus Chew (PKNS FC),
Syafiq Ahmad akan dapat bersaing juga,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan