SELEPAS mendapat pencalonan tertinggi untuk bertanding merebut
jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin
turut mendapat ‘aura’ sokongan daripada kelab penyokong bola sepak
tanah air.
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA), Nor Asmadi
Hamzah berkata, Hamidin mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding dua calon
lain, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa.
Justeru, Asmadi berharap tidak berlaku sebarang unsur politik
yang boleh mempengaruhi undi ahli gabungan pada pemilihan jawatan nombor satu
badan induk berkenaan pada 14 Julai depan.
“Ketiga-tiga calon sebenarnya layak, tapi bagi saya Hamidin ada
sedikit kelebihan berdasarkan pengalaman luas dalam menguruskan bola sepak
negara.
“Walaupun bola sepak negara ketika ini tidak banyak perubahan
ketika beliau memikul tugas sebagai setiausaha agung, tapi sebagai penyokong
saya percaya beliau mampu membawa kemajuan lebih baik.
“Buat ahli gabungan, pilihlah individu yang tepat demi bola
sepak negara. Jangan pilih kerana politik atau unsur lain,” katanya ketika
dihubungi, hari ini.
Berdasarkan laporan sebelum ini, Hamidin mendapat 18 pencalonan
daripada ahli gabungan manakala Azim dan Annuar masing-masing hanya memperoleh
satu pencalonan.
Sementara itu, Penyelaras Selangorfc.com, Mohd Firdaus Abdul
Mutalib pula mengharapkan ahli gabungan membuat pemilihan berdasarkan kelayakan
calon dan bukan mengikut emosi.
Jelasnya, ahli gabungan perlu memberi peluang kepada individu
yang sudah mempunyai pengetahuan dalam bola sepak di peringkat tempatan dan
antarabangsa.
“Jika melihat kepada senarai calon, memang Hamidin paling bagus.
Tapi kita tidak boleh menafikan kebolehan Azim dan Annuar. Cuma kalau ikut
kelayakan, Hamidin lebih layak.
“Walaupun
Hamidin dilihat lebih mengikut telunjuk Presiden FAM ketika berperanan sebagai
setiausaha agung sebelum ini, tapi kita jangka keadaan itu akan berbeza jika
beliau dipilih sebagai presiden baharu nanti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan