KUALA LUMPUR: Semua ahli
gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diingatkan tidak memilih calon
presiden untuk 'diuji' kerana badan induk berkenaan sangat memerlukan individu
yang sudah pakar dalam bola sepak.
Perkara itu diluahkan bekas
pemain kebangsaan, Azlan Johar sambil mengharapkan ahli gabungan tidak
membabitkan agenda politik dalam pemilihan jawatan nombor satu badan induk itu
pada 14 Julai depan.
Azlan menganggap ahli
gabungan memahami apa yang dimaksudkannya iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin calon
paling layak untuk berada di kerusi berkenaan berbanding dua calon lain, Datuk
Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa.
Malah, beliau berkata,
pemilihan Hamidin juga bakal memenuhi hasrat peminat yang mahukan presiden yang
bukan dalam kalangan orang politik dan mampu memberi tumpuan sepenuh masa
kepada badan induk berkenaan.
"Semua yang peminat
harapkan ada pada Hamidin. Kalau kita suruh tidur di FAM pun beliau boleh buat.
Malah, beliau bermula dari bawah lagi, semua pasal bola beliau tahu dan kita
tidak boleh tipu beliau.
"Ahli gabungan
janganlah wujudkan politik dalam pemilihan, mereka pun sedar siapa yang layak.
Bola sepak negara ketika ini tiada masa lagi untuk mencuba, jadi Hamidin
individu yang tidak perlu dicuba, beliau boleh terus jalankan tugas.
"Saya tidak
mempertikai kewibawaan Datuk Seri Azim. Tapi beliau memikul tugas sebagai
Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik
Malaysia (MOM), mungkin beliau boleh bahagikan masa, tapi adakah masa yang
dibahagikan itu mencukupi untuk semua tanggungjawabnya.
"Tan Sri Annuar pula
baru saja dipilih sebagai ahli parlimen dan saya rasa lebih baik beliau
tumpukan kepada politik dulu, tunaikan harapan yang diberikan rakyat,"
katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ketiga-tiga calon itu
mempunyai tempoh sehingga 14 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada menerima
atau menolak pencalonan mereka untuk merebut jawatan presiden FAM.
Biarpun tampak memiliki
kelebihan, Hamidin bagaimanapun tidak terlepas daripada penilaian awal beberapa
pihak yang menyifatkan beliau gagal membawa kemajuan kepada bola sepak negara
selepas berperanan sebagai setiausaha agung sejak 2013.
Mengulas mengenai perkara
itu, Azlan tidak bersetuju jika kemampuan sebenar Hamidin hanya dinilai
berdasarkan peranannya sebagai setiausaha agung.
"Harus diingat
setiausaha agung hanya boleh bagi pandangan dan tidak boleh buat keputusan. Ia
jelas berbeza jika beliau menjadi presiden di mana beliau mempunyai kuasa untuk
memberi idea dan membuat keputusan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan