Kuala Lumpur: Tindakan dua ahli gabungan Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) yang cuba ‘menentang arus’ dengan mencalonkan pilihan sendiri
bagi jawatan Presiden FAM, sekali gus mencabar calon pilihan, Datuk Hamidin
Mohd Amin perlu dilihat daripada dua sisi.
Pemangku presidennya, Datuk Yusoff Mahadi tidak menafikan
tindakan itu memang boleh dianggap sebagai ‘menentang arus’, namun beliau
mengakui ahli gabungan bebas untuk menamakan sesiapa saja yang difikirkan layak
dan sesuai untuk menduduki kerusi panas badan induk itu.
“Secara rasminya, kita sudah mendapat pencalonan keseluruhan,
justeru kita kena menghormati keputusan ahli gabungan dan menerima hakikat
bahawa pertembungan akan berlaku pada kongres nanti.
“Apapun, kalau kita hendak bercakap mereka cuba menentang arus
apabila meletakkan calon lain pun boleh kerana kita sendiri tahu bahawa Hamidin
mendapat 18 pencalonan, jadi saya lihat sokongan agak besar di situ.
“Tetapi kalau kita mengambil kira daripada sudut lain, itulah
konsep demokrasi dalam pemilihan kerana masing-masing berhak untuk memiliki
pandangan tersendiri dan meletakkan calon yang dirasakan sesuai.
“Sebab itulah kita perlu melihat situasi ini daripada dua sisi.
Ini demokrasi dan dibenarkan dalam FAM dan kini terpulang kepada calon sama ada
mereka sanggup ataupun tidak untuk menerima pencalonan,” katanya ketika
dihubungi semalam.
Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan persaingan sengit tiga
penjuru bakal disaksikan bagi merebut jawatan Presiden FAM apabila Persatuan
Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat keputusan mengejut mencalonkan bekas
Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pada saat akhir sebelum tempoh
pencalonan ditutup kelmarin.
Pencalonan Annuar yang juga adalah bekas Presiden Persatuan
Bolasepak Kelantan (KAFA) itu dibuat sehari selepas Persatuan Bolasepak Negeri
Pahang (PBNP) mencalonkan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri
Abdul Azim Mohd Zabidi berdepan calon pilihan Exco FAM iaitu Hamidin.
Ketiga-tiga calon diberi tempoh selama sebulan untuk mengesahkan
sama ada mereka bersedia untuk bertanding pada Kongres FAM ke-54 yang akan
berlangsung 14 Julai ini.
Kerusi
Presiden FAM dikosongkan selepas penyandangnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya dengan beliau turut
mencadangkan nama Hamidin selaku calon Presiden FAM yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan