
BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. - Foto fail NSTP/Zulkepli Osman
KUANTAN: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berharap saingan Liga Malaysia (Liga M) berehat setiap kali Ramadan bagi memberi peluang kepada pemain dan pegawai menjalani puasa dengan sempurna.
"Saya berpendapat sudah tiba masanya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil kira tuntutan agama yang inginkan umat Islam melakukan lebih banyak amalan pada Ramadan.
"Ramadan perlu dihormati semua pihak dan semua aktiviti sukan seharusnya dihentikan seketika sebelum disambung semula selepas Aidilfitri," kata bekas pemain dan jurulatih Tok Gajah itu.
Jamal Nasir berkata, sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah menangguhkan saingan merebut Piala Malaysia setiap kali Ramadan dan perkara sama perlu dijadikan contoh.
Katanya, walaupun tidak mengikut sepenuhnya, sudah memadai buat MFL mengubahsuai peraturan berkaitan perlawanan Liga M setiap kali Ramadan sebagai usaha memberi peluang kepada pemain, jurulatih dan pegawai menunaikan solat tarawih.
Beliau berkata, sebagai negara Islam, peraturan perlulah mengikut garis dan peraturan ditetapkan agama bukan mengikut undang-undang yang direka serta dibuat manusia.
Katanya lagi, 90 peratus pemain yang beraksi dalam Liga M terdiri daripada mereka yang beragama Islam dan perlu berpuasa serta tarawih dalam keadaan selesa dan terbaik.
"Sebelum ini semua perlawanan bola sepak ditangguhkan seketika dan disambung selepas seminggu Aidilfitri. Dalam tempoh berkenaan pemain hanya menjalani latihan ringan saja.
"Namun kini pemain, jurulatih dan pegawai berterusan memberi tumpuan kepada bola sepak, mereka seolah tidak diberi peluang beribadah dengan sempurna sepanjang Ramadan yang hanya datang sekali setahun," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menyokong cadangan bekas pemain Kedah dan kebangsaan, Radhi Mat Din kelmarin yang berharap MFL lebih peka dengan merehatkan liga di sepanjang Ramadan bagi membolehkan komuniti bola sepak beragama Islam memberi tumpuan kepada ibadah.
Ujarnya lagi, jadual perlawanan pihak MFL sendiri yang sediakan jadi tidak ada masalah untuk mengubahnya. Setiap kali Ramadan, terdapat pemain yang tidak berpuasa semata-mata untuk mengekalkan kecergasan.
Jamal Nasir berkata, sudah tiba masanya pengurusan MFL menghormati Ramadan seterusnya memikirkan tentang tuntutan agama Islam yang perlu dilakukan pemain, jurulatih dan pegawai termasuk penyokong.
"Mungkin musim ini MFL tidak sempat bertindak namun diharapkan ia dapat dilaksanakan pada masa akan datang, keputusan kini terletak di tangan barisan pegawai yang pasti memahami kehendak semua pihak.
"Kerancakan bola sepak negara tidak akan terjejas walaupun berehat sebulan malah mungkin semakin menarik apabila pemain seolah mendapat suntikan semangat selain bertambah cergas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan