Hamidin Mohd. Amin
KUALA LUMPUR 21 Mei – Keserasian pucuk pimpinan
baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)
amat diperlukan bagi memastikan kesinambungan perjalanan dan pembangunan sukan
itu, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd.
Firdaus Mohamed.
Justeru tambahnya, FAM wajar diterajui Datuk
Hamidin Mohd. Amin pada Kongres Ke-54 pemilihan, 14 Julai ini memandangkan
persefahamannya dengan Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah kukuh
terjalin ketika Tunku Mahkota Johor itu memimpin persatuan selama setahun
sebelum melepaskan jawatan itu.
Kata Firdaus, “hubungan pemimpin FAM dan MFL ini
saya ibaratkan bermain bola sepak. Jika bahagian tengah dan serangan tidak
bersefahaman atau serasi, mana mungkin sesebuah pasukan mampu maju dalam
mengatasi cabaran hebat yang mendatang seterusnya mencapai matlamat kejayaan.
“Datuk Hamidin (Setiausaha Agung) dan Tunku
Ismail sudah serasi dan masing-masing tahu hati budi sejak di FAM malah biarpun
selepas TMJ meletakkan jawatan (Presiden FAM pada 25 Mac lalu). Tentunya tiada
masalah FAM dan MFL untuk terus bekerjasama demi pembangunan bola sepak negara.
“PBMM pun tidak nampak calon lain presiden yang
mampu bergandingan baik seperti mereka,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa
Eksekutif (Exco) FAM kepada Utusan Malaysia di sini hari ini, mengulas
persaingan tiga penjuru kerusi panas itu bagi baki penggal 2017-2021.
Hamidin disaingi Pengerusi Institut Sukan Negara
dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd.
Zabidi yang dicalonkan Persatuan Bola Sepak Pahang selain bekas Timbalan
Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang dicalonkan Persatuan Bola Sepak Kuala
Lumpur.
PBMM merupakan antara ahli gabungan yang bakal
menentukan mandat buat Presiden FAM yang ke-16 dalam Kongres itu malah Exco
sudah pun menyatakan sokongan terhadap Hamidin menerusi satu mesyuarat khas di
Kelana Jaya, 2 April lalu.
Hamidin turut dianggap calon pilihan utama
memandangkan pengalaman luasnya bersama FAM sejak sebagai Naib Presiden dan
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan ketika persatuan diterajui Sultan
Ahmad Shah lagi yang melantiknya sebagai Setiausaha Agung pada 1 Julai 2013.
Beliau juga menjadi pengurus pasukan bawah 23
tahun bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang mempertahankan pingat emas pada Sukan
SEA 2011 di Indonesia sebelum dinaikkan sebagai pengurus pasukan utama negara,
Harimau Malaya .
Namun kejayaan Pakatan Harapan dalam Pilihan
Raya Umum Ke-14 lalu yang mendorong peletakan jawatan pucuk pimpinan Persatuan
Bola Sepak Kedah, baru-baru ini dan mungkin menular ke beberapa negeri lain,
dikatakan mampu mempengaruhi pengundian para perwakilan dan meniupkan angin
perubahan baharu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan