PRESIDEN Persatuan
Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yakin Datuk Hamidin mampu
pikul dua tugas dengan baik. - Foto Saddam Yusoff
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia
(PJBM), B Sathianathan menyifatkan tiada masalah sekiranya Setiausaha Agung
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memegang dua
jawatan dalam persatuan berbeza.
Hamidin dilaporkan bakal
mengisi jawatan Presiden FAM bagi menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim
selain turut dikaitkan dengan jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia
(MOM) dengan kedua-dua pemilihan dijadual berlangsung bulan depan.
Namun, beberapa pihak
menganggap Setiausaha Agung FAM itu sebaiknya memberi keutamaan kepada jawatan
Presiden FAM yang pasti memerlukan fokus sepenuhnya untuk menguruskan badan
induk berkenaan.
Bagi Sathianathan,
beliau percaya Hamidin boleh menguruskan FAM dengan baik walaupun kemungkinan
turut terpilih sebagai Timbalan Presiden MOM yang dianggap sebagai tugas
separuh masa.
"Tugas Timbalan
Presiden MOM bukan sepenuh masa kerana bukan selalu terbabit dengan kejohanan
besar. Bila ada Sukan SEA, Sukan Asia dan sebagainya barulah MOM berdepan
kesibukan.
"Malah, ia
(Timbalan Presiden MOM) bukan posisi di mana beliau (Hamidin) perlu membuat
keputusan dan yang banyak melakukan tugas adalah Setiausaha Agung MOM.
"Berbeza pula
dengan FAM, presiden yang perlu buat keputusan dan membabitkan banyak
pertandingan setiap tahun termasuk liga, pasukan kebangsaan dan futsal. Jadi ia
perlukan fokus sepenuh masa.
"Apa pun, segala
keputusan terpulang kepada Hamidin dan beliau perlu memikirkan sebaik mungkin.
Cuma bagi saya, ia mungkin tiada masalah memikul dua tugas," kata
Sathianathan.
Khamis lalu, Sukan
NSTP melaporkan Penolong Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi menasihatkan
supaya Hamidin tidak memegang banyak jawatan hingga boleh membebankan tugasnya.
Hamidin hampir pasti
dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu selepas 18 daripada 20 ahli gabungan
mencalonkan nama beliau untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku
Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan