AHLI gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang cuba
mencadangkan nama lain untuk dipilih sebagai presiden badan induk itu hanya
melakukan kerja sia-sia.
Perkara itu diluahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib
FAM, Kamarudin Abdullah selepas 18 daripada 20 ahli gabungan dilaporkan
mencalonkan nama Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai presiden baharu badan induk
berkenaan.
Kamarudin berkata, 18 pencalonan yang diterima Hamidin
menunjukkan bukti jelas Setiausaha Agung FAM itu menjadi calon pilihan dan
sukar untuk dicabar individu lain.
“Kalau kita lihat kepada 18 pencalonan itu, memang sudah
melebihi jumlah undi majoriti yang diperlukan untuk seseorang dipilih sebagai
presiden kerana FAM hanya ada 20 ahli gabungan.
“Ia juga bukti jelas bahawa sukar untuk individu lain mencabar
Hamidin, itu pun jika ada nama lain dicalonkan oleh dua lagi ahli gabungan yang
belum membuat keputusan. Jadi, memang kerja sia-sia dua ahli gabungan itu
mencalonkan orang lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sukan NSTP sebelum ini melaporkan 18 daripada 20 ahli gabungan
mencalonkan nama Hamidin bagi menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku
Ismail Sultan Ibrahim yang secara rasmi meninggalkan kerusi panas itu pada 2
April lalu.
Tempoh pencalonan bagi pemilihan jawatan presiden dibuka
sehingga 11 Mei ini dan difahamkan, sehingga kini Hamidin menjadi calon tunggal
yang mendapat pencalonan daripada ahli gabungan.
Selain itu, Kamarudin yang juga bekas pemain kebangsaan percaya
pengalaman Hamidin berkhidmat sebagai Setiausaha Agung di bawah tiga bekas
Presiden FAM sebelum ini bakal menjadi kekuatan utama untuk beliau membawa
perubahan kepada arena bola sepak negara.
Beliau bagaimanapun berkata, Hamidin perlu bekerja lebih keras
kerana tugas presiden lebih berat berbanding menjawat jawatan sebagai
Setiausaha Agung.
“Tugas presiden ini memang berat kerana semua bergantung ke atas
bahu beliau termasuk dari pentadbiran FAM hingga ke pasukan kebangsaan. Ia sama
sekali berbeza dengan peranan yang dimainkan Setiausaha Agung.
“Tapi Hamidin mempunyai pengalaman luas dan pernah berkhidmat di
bawah tiga presiden termasuk Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah, dan TMJ. Saya
fikir ia akan banyak membantu beliau menguruskan FAM nanti.
“Berkenaan
dana pula saya jangka tiada masalah kerana TMJ sebelum ini sudah menyatakan
hasrat untuk membantu FAM, mungkin Hamidin boleh memberi lebih fokus kepada
pengurusan dan menyumbang idea baharu untuk bola sepak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan