PEMILIHAN 'Messi Amerika', Wan Kuzain Wan Kamal ke dalam pasukan
utama Sporting Kansas City (Sporting KC) diyakini mampu menjadi batu loncatan
untuk pemain berdarah Malaysia itu mengintai peluang beraksi dalam Liga Perdana
Inggeris (EPL).
Situasi itu diakui bapanya, Prof Dr Wan Kamal Napi yang
menjelaskan peluang untuk menempatkan diri dalam saingan liga elit di England
itu sentiasa menjadi cita-cita pemain berusia 19 tahun itu dengan dia turut
mensasarkan untuk beraksi di Piala Dunia pada masa akan datang.
Justeru, Wan Kamal mahukan anak keduanya supaya tidak cepat
berpuas hati dan selesa dengan apa yang dimiliki ketika ini sambil menegaskan
dia perlu terus bekerja keras bagi mencapai sasarannya untuk bergelar pemain
terbaik dunia.
"Bagi seorang pemain berusia 19 tahun dan menyertai pasukan
utama dalam Liga Bolasepak Major (MLS), Kuzain melakukan perkara yang baik
namun dia perlu terus bekerja keras kerana saya yakin dia mampu untuk perlu
lebih jauh.
"Setakat ini, boleh dikatakan impiannya untuk beraksi di
MLS berjaya menjadi kenyataan namun sebagai pemain profesional, masih banyak
lagi yang perlu dipelajari dalam persaingan merebut kesebelasan utama sebelum
menjadi pemain terbaik dunia.
"Siapa tahu mungkin Sporting KC akan membuka laluan untuk
dia mengembangkan sayapnya ke EPL satu hari nanti," katanya ketika
dihubungi, hari ini.
Kelmarin, bekas pemain Swope Park Rangers itu sekali lagi
mencipta sejarah baharu apabila bakal menjadi pemain berdarah Malaysia pertama
beraksi dalam saingan Liga Bolasepak Major (MLS) selepas sah menyertai pasukan
Sporting KC yang bersaing dalam Western Conference MLS.
Menerusi kenyataan di laman rasmi pasukan itu, Sporting KC
menandatangani Wan Kuzain yang juga bekas pemain akademi pasukan berkenaan
dengan kontrak selaku pemain tempatan sehingga 2020 dengan pilihan untuk
melanjutkan kontraknya pada 2021 dan 2022.
Mengulas lanjut perkembangan pesat yang ditunjukkan Wan Kuzain,
Wan Kamal yang juga bekas pemain kebangsaan era 80-an itu menjelaskan tiada
rahsia mengenai kemajuan anaknya itu kerana semua adalah berkat usaha keras dan
seterusnya menyerahkan kepada Allah.
"Sesiapa pun boleh berjaya tanpa mengira bangsa atau dari
negara mana dia dilahirkan. Apa yang penting adalah sanggup bekerja keras tanpa
mengeluh ataupun memberi alasan.
"Sejak
dari kecil lagi, Kuzain sudah diajar supaya bekerja keras dalam semua perkara
yang dilakukannya. Selain itu, sentiasa jujur dan jangan sombong kerana
semuanya milik Allah. Kita hanya merancang tetapi Allah yang
menentukannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan