Kuala Lumpur: Penjaga gol skuad bawah 16 tahun (B-16) negara,
Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menegaskan dia tidak takut dengan reputasi Jepun
selepas kedua-dua pasukan diundi dalam Kumpulan A pada Kejohanan Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur, September depan.
Selain Jepun, skuad kendalian Lim Teong Kim itu juga bakal
dicabar oleh Thailand dan Tajikistan dengan masing-masing mahu meraih dua
posisi terbaik untuk ke suku akhir kejohanan.
Namun, rekod pertemuan terakhir menentang Jepun ketika pusingan
kelayakan di Indonesia tahun lalu menyaksikan Malaysia tumbang 0-4.
Malah, Thailand menunjukkan aksi memberangsangkan di Kejohanan
AFF B-15 tahun lalu apabila menamatkan kedudukan selaku naib juara berbanding
skuad kebangsaan di tangga keempat.
Begitupun, Sikh yang pernah dijulang sebagai penjaga gol terbaik
di satu daripada kejohanan terbesar Eropah percaya, pasukan mampu memberi
tentangan kepada semua lawan ketika mereka turut disasarkan layak hingga ke
separuh akhir sekali gus meraih slot ke Piala Dunia Remaja B-17 di Peru tahun
depan.
“Saya rasa tidak perlu bimbang. Kami cuma harus bermain seperti
biasa dan kekalkan tahap kami selain cuba mengelak daripada melakukan
kesilapan. Kami boleh menang lawan Jepun atau sesiapa pun,” katanya yang
berasal dari Butterworth, Pulau Pinang.
Sikh antara tonggak terbaik dalam skuad elit generasi pertama
Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sering mendapat kepercayaan Teong
Kim untuk mengawal gawang negara dalam mana-mana kejohanan disertai.
Malah, sepanjang empat tahun persiapan pasukan ini pelbagai
gelaran berjaya dijulang antaranya Piala Iber Costa del Sol 2015 di Sepanyol
serta Piala SuperMokh 2016 yang membabitkan kehadiran kelab ternama dunia.
“Memang kami pernah kalah kepada Jepun tahun lalu, tetapi waktu
itu kami tidak turun dengan kekuatan sebenar. Piala AFF juga bukan skuad
pertama yang pergi sebaliknya pasukan kedua NFDP.
“Saya yakin kami akan dapat melakukan sesuatu kerana kami akan
turun dengan kekuatan sebenar.
“Lagipun,
kami semua memang bercita-cita nak main di Piala Dunia dan kami akan berusaha
bersungguh-sungguh ke arah itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan