WAN Kuzain Wan Kamal
mencipta sejarah apabila bakal menjadi anak Malaysia pertama beraksi dalam
saingan Liga Bolasepak Major (MLS).
KUALA LUMPUR: Pemain berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal
sekali lagi mencipta sejarah baharu apabila bakal menjadi anak Malaysia pertama
beraksi dalam saingan Liga Bolasepak Major (MLS).
Pemain yang terkenal dengan jolokan 'Messi Amerika' itu sah
menyertai pasukan yang beraksi dalam saingan Western Conference MLS, Sporting
Kansas City (Sporting KC) dengan perkembangan itu diumumkan menerusi laman
rasmi pasukan terbabit, malam tadi.
Menerusi kenyataan itu, Sporting KC menandatangani Wan Kuzain
yang juga adalah bekas pemain akademi pasukan berkenaan dengan kontrak selaku
pemain tempatan sehingga 2020 dengan pilihan untuk melanjutkan kontraknya pada
2021 dan 2022.
Dengan penyertaan pemain berusia 19 tahun itu, dia turut muncul
selaku pemain tempatan yang kesembilan dalam sejarah kelab Sporting KC.
Pengurus Sporting KC, Peter Vermes mengakui pemain tengah
bertahan itu memiliki segala kualiti, sikap dan mentaliti yang diperlukan untuk
menjadi tonggak pasukan itu pada masa akan datang.
"Kuzain adalah pemain daripada akademi kami dan berkembang
dengan begitu pesat.
"Dia memiliki pemahaman yang mengagumkan terhadap
peranannya mengenai model permainan kami dan kami yakin dia sememangnya layak
untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi," katanya menerusi laman
rasmi pasukan itu.
Sementara itu, Kuzain nyata gembira selepas berjaya menyertai
pasukan terbabit sambil menyifatkan ia bagai mimpi menjadi kenyataan.
"Saya begitu teruja dan berterima kasih atas peluang yang
diberikan oleh Sporting Kansas City. Ini adalah sesuatu yang sememangnya
diimpikan oleh semua pemain muda.
"Sangat hebat apabila menjadi sebahagian daripada pasukan
ini terutamanya selepas saya sendiri datang daripada akademi dan akhirnya
menyertai pasukan utama," katanya.
Selepas menyertai akademi Sporting Kansas City pada 2016, dia
menandatangani kontrak akademi Swope Park Rangers pada tahun sama sebelum
memperoleh kontrak profesional bersama pasukan sama tahun berikutnya.
Selain itu, Kuzain pernah menjalani latihan bersama skuad Bawah
17 (B-17) Amerika Syarikat dan juga kelab daripada Belanda, Feyenoord tiga
tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan