JURULATIH skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yakin barisan pemain
kurang berpengalaman Harimau Malaya mampu merobek gawang Bhutan pada aksi
persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Bhutan yang dibelasah Maldives 7-0 dalam aksi kelayakan Piala
Asia Selasa lalu, dijangka menampilkan corak permainan bertahan pada
pertembungan sulung antara kedua-dua pasukan itu.
Sekiranya berlaku, Cheng Hoe perlu mencari jalan untuk membolosi
gawang Bhutan, berbeza dengan situasi dihadapi ketika tewas 2-1 kepada Lubnan
dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia di Beirut atau ketika seri 2-2
menentang Mongolia dalam aksi persahabatan.
Jentera serangan negara diketuai Zaquan Adha Abd Radzak yang
sudah meledak enam gol antarabangsa.
“Sandaran menjaringkan gol tidak boleh diletakkan kepada
penyerang semata-mata, barisan tengah juga perlu mencari peluang,” kata Cheng
Hoe yang dijangka akan melakukan beberapa perubahan selepas perlawanan dengan
Lubnan.
“Tidak cukup dengan hanya menguasai permainan kerana kami perlu
menang. Kami tahu Bhutan akan bertahan habis-habisan, jadi kami perlu sabar
apabila menyerang.
“Dalam bola sepak moden kita tidak boleh terlalu ghairah
menyerang kerana kita mungkin terperangkap dengan serangan balas. Ini yang kita
pelajari ketika menentang Mongolia.”
Penyerang PKNS, Jafri Firdaus Chew dijangka diberikan penampilan
pertama di peringkat senior untuk memburu jaringan manakala Syazwan Andik
Ishak, Syahmi Safari dan Syawal Nordin turut menjadi taruhan Cheng Hoe.
Malaysia menampilkan persembahan mengejutkan ketika bertemu
Lubnan walaupun tidak diperkuat 12 pemain bintang dari Johor Darul Ta’zim, dan
hampir mencatat keputusan seri sebelum dikecewakan dengan gol pada masa
kecederaan.
Cheng Hoe berharap anak buahnya dapat mengekalkan rentak
permainan serupa dalam usaha menamatkan kemarau kemenangan 12 perlawanan sejak
November 2016.
“Kita
dapat lihat pasukan lebih harmoni dan mula serasi walaupun baru dikumpulkan.
Saya harap dapat melihat rentak sama ketika menentang Lubnan ditunjukkan.
Tetapi kita perlu memperbaiki kawalan bola dan menjaringkan gol,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan