LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) bertegas tiada lagi ruang untuk
rayuan terhadap keputusan denda yang dikenakan kepada 10 pasukan yang gagal
melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata
pengurangan denda yang diputuskan badan pengelola itu pada minggu lalu,
muktamad.
Empat pasukan Liga Super yang dikenakan denda sebanyak RM1.5
juta dikurangkan kepada RM500,000 manakala enam pasukan Liga Perdana hanya
perlu membayar RM200,000 berbanding RM500,000.
“Tiada lagi ruang untuk rayuan kerana prosesnya hanya
membenarkan satu rayuan saja. Denda yang dikenakan sudah pun dikurangkan, jadi
ia adalah yang terakhir,” kata Kevin ketika ditemui selepas memberikan ucapan
mengenai sumbangan terhadap pembangunan bola sepak Malaysia di Universiti
Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.
“Ia masih jauh lebih rendah daripada denda awal. Surat yang kami
hantar kepada pasukan mengatakan bahawa dengan pengurangan itu terdapat kaveat
yang ketat bahawa mereka tidak seharusnya terkejut dengan denda lebih tinggi
daripada RM1 juta sekiranya berlaku kesalahan serupa pada masa depan.”
Kevin turut menolak tanggapan yang mengatakan jumlah yang
dikurangkan tetap tinggi untuk kesalahan membabitkan pentadbiran.
“Pasukan kini memiliki bajet RM15 juta ke RM25 juta, denda
RM10,000 tidak lagi menjejaskan mereka dalam apa juga cara,” katanya.
“Denda sebanyak RM500,000 jelas cukup bertepatan untuk membuat
perubahan. Jika tiada siapapun yang mengadu, jadi kami berdepan masalah.
“Ini bermakna denda itu kecil dan mereka gembira untuk
membayarnya. Ia adalah situasi yang bahaya. Denda adalah sesuatu yang orang
sepatutnya membuat aduan dan kami mengalu-alukan aduan.”
Kesemua
10 pasukan yang pada awalnya terpaksa membayar denda berkenaan menerusi tolakan
keuntungan yang diberikan oleh MFL akan memperoleh kembali jumlah yang sudah
dikurangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan