ANGGOTA Pasukan Anti
Rusuhan Awam (PORU) mengiringi penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi keluar dari
kawasan padang stadium apabila penonton mula membaling plastik kearah padang
selepas perlawanan Piala FA Sabah menentang JDT malam tadi. FOTO/LANO LAN
KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh
berpendapat, isu pemain sengaja melengahkan permainan membuktikan semangat
kesukanan dalam kancah bola sepak tempatan sudah merosot.
Bagaimanapun, beliau enggan menyalahkan pemain semata-mata,
sebaliknya menegaskan tindakan itu kini sudah menjadi taktik oleh jurulatih di
seluruh dunia.
"Kalau kita lihat, insiden melengahkan permainan bukan
hanya berlaku dalam Liga Malaysia (Liga-M) malah liga di luar negara seperti
EPL (Liga Perdana Inggeris), La Liga (Sepanyol) dan lain-lain
lagi.
"Sekarang, pemain melengahkan permainan selepas mendahului
sudah menjadi taktik dalam bola sepak di Malaysia, bila dapat gol awal, pasukan
akan buat macam-macam untuk buang masa.
"Kalau di EPL, Pep Guardiola (pengurus Manchester City)
sendiri pernah menyuarakan perkara ini bahawa pasukan lawan akan melakukan
macam-macam, kerana itu adalah taktik mereka," katanya ketika dihubungi,
hari ini.
Isu pemain sengaja melengahkan permainan menjadi perhatian
apabila pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak
berpuas hati dengan aksi segelintir anak buahnya ketika menewaskan Sabah 2-1
pada aksi pusingan kedua Piala FA di Likas, Sabtu lalu.
Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) dalam kenyataan itu memberitahu, tindakan pemain melengahkan permainan
adalah penyakit dalam bola sepak dan mahu pengadil memberikan kad kepada pemain
terbabit.
Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebby bersetuju dengan
kenyataan Tunku Ismail dengan menyatakan hanya pengadil boleh mengawal pemain
dalam padang.
"Kita tak boleh menyalahkan pemain saja kalau itu arahan
yang diberikan oleh jurulatih tapi pengadil boleh mengawalnya dengan mengambil
tindakan tegas. Memang ada hukuman kepada pemain yang sengaja melambatkan
permainan ini," katanya yang kini bertugas sebagai pengulas di stesen
televisyen antarabangsa.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan