Kewibawaan pasukan kebangsaan dinilai bertemu
‘geng budak sekolah’ Bhutan malam ini
MORGAN (dua dari
kanan) ketika mengendalikan sesi latihan skuad Bhutan di Stadium Nasional,
Bukit Jalil semalam menjelang aksi menentang Malaysia malam ini.
SKUAD Harimau Malaya
dalam misi memburu kemenangan pertama selepas 12 perlawanan tanpa keputusan
positif pada aksi persahabatan menentang Bhutan di Stadium Nasional, Bukit
Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
KHAIRUL FAHMI (dua
dari kiri) bersalaman dengan kapten Bhutan, Jigme Tshering Dorjee pada sidan
akhbar sempena aksi persahabatan Malaysia menentang Bhutan di Bukit Jalil,
Kuala Lumpur malam ini. Turut kelihatan Cheng Hoe (kiri) dan jurulatih Bhutan,
Trevor James Morgan.
SUKA atau tidak, skuad Harimau
Malaya wajib menewaskan Bhutan dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional,
Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
Bukan sahaja penyokong-penyokong tempatan
mahu melihat skuad negara menamatkan badi tanpa kemenangan sebaliknya mereka
juga menuntut Harimau Malaya menjaga maruah Malaysia yang akan menjadi taruhan
ketika menentang pasukan yang berada di ranking ke-188 Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) itu.
Ini kerana peminat-peminat tidak rela
melihat Harimau Malaya dipermainkan jika tewas atau sekadar seri ke atas Bhutan
yang membawa lima pelajar sekolah tinggi dan lima penuntut universiti, manakala
selebihnya adalah kakitangan kerajaan dan petugas swasta ketika berkunjung ke
Kuala Lumpur.
Apa yang pasti, kegagalan menewaskan Bhutan
akan terus mengundang kekecewaan peminat-peminat yang masih belum dapat
melupakan keputusan seri 2-2 ketika menentang Mongolia di venue sama, 22 Mac
lalu.
Atas kertas, skuad kebangsaan sepatutnya
tidak berdepan masalah sebagaimana kesemua pemain terdiri daripada kalangan
profesional berbanding para pemain Bhutan daripada status semi profesional.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Harimau
Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan anak-anak buahnya sedia berjuang dan tidak
memandang rendah cabaran Bhutan dalam misi melakar kemenangan pertama pasukan
kebangsaan sejak 2016.
Katanya, pasukan negara akan tampil lebih
serius untuk memastikan mereka mendapat keputusan positif ketika bermain di
laman sendiri.
Sebagai rekod, keputusan 3-2 ke atas
Kemboja dalam aksi Piala AFF 2016 di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee adalah
kemenangan terakhir pasukan Harimau Malaya.
“Mungkin saya akan buat dua atau tiga
perubahan (pemain) sahaja, bukan semua ditukarkan.
Kita juga akan beri peluang
kepada pemain yang belum beraksi pada pertemuan dengan Lebanon (dalam aksi
terakhir Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019) baru-baru ini.
“Apa yang penting kami mengharapkan
kemenangan, bukan kemenangan besar kerana setiap perlawanan itu adalah berbeza.
Bagaimanapun saya berharap para pemain tidak memandang mudah cabaran Bhutan.
“Malaysia dahagakan kemenangan kerana kita
sudah lama tidak menang dalam perlawanan di peringkat antarabangsa dan saya
berharap pemain-pemain akan meneruskan momentum seperti ditunjukkan ketika
menentang Lebanon,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya
semalam.
Sementara itu, penjaga gol Harimau Malaya,
Khairul Fahmi Che Mat mengakui rakan-rakan sepasukan terdesak untuk meraih
kemenangan ke atas Bhutan sebagai tanda kebangkitan prestasi selepas bergelut
sepanjang bermain di pentas antarabangsa.
“Seperti yang jurulatih katakan, kami
sangat perlukan kemenangan.
Jadi kami perlu fokus sepenuhnya dan saya harap
perlawanan esok (hari ini) akan menjadi titik permulaan untuk skuad kebangsaan
meraih keputusan positif.
“Apapun kami perlu perbaiki segala
kelemahan ketika berdepan Lebanon dan Stadium Nasional Bukit Jalil sememangnya mempunyai
kenangan yang baik buat skuad kebangsaan termasuk ketika menjuarai Piala AFF
Suzuki 2010,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan