Para pemain Skuad Harimau Malaya tiba di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini selepas dikecewakan Lubnan
1-2 pada aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di
Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut.-- fotoBERNAMA
SEPANG 29 Mac - Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak,
yang diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan kebangsaan menentang Lubnan
pada Selasa, menabik rakan-rakan sepasukannya yang mempamerkan aksi cemerlang,
walaupun tewas 2-1 kepada pasukan yang berada di kedudukan ke-87 dunia itu.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata, beliau
menghormati semangat berpasukan dan karakter positif yang ditunjukkan oleh para
pemain skuad Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-178, selepas hanya dua
hari menjalani latihan bersama.
"Kami memang turun padang dengan hasrat
untuk meraih kemenangan* Sebelum perlawanan mula lagi, dah cakap tiada apa yang
mustahil dan dah tanam keinginan untuk menang, cuma nasib tidak menyebelahi
kami.
"Kami akan meneruskan aksi yang serupa
apabila turun melawan Bhutan pada Ahad ini.
Kami tidak boleh berasa selesa
selepas aksi Lubnan, tetapi harus memperbaiki kelemahan yang ada untuk
perlawanan-perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sejurus tiba dari Beirut, Lubnan
malam tadi.
Dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Camille
Chamoun Sports City Stadium di Beirut, Lubnan mendahului melalui ketua
pasukannya Hassan Maatouk yang membolosi gawang Malaysia menerusi sepakan
penalti pada minit ke-19 selepas pemain pertahanan Malaysia Matthew Davies
melakukan faul terhadapnya dalam kawasan penalti.
Pemain gantian Muhammad Syafiq Ahmad menyamakan
kedudukan bagi Malaysia pada minit ke-72, namun pasukan tuan rumah berjaya
mengatasi Harimau Malaya pada minit akhir masa kecederaan menerusi Hilal
El-Helwe.
Mohd Zaquan merupakan antara sembilan pemain
yang dipanggil oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, selepas mengambil keputusan
untuk melepaskan kapten Safiq Rahim serta 13 pemain daripada pasukan Johor
Darul Ta'zim (JDT) berikutan keputusan seri 2-2 menentang Mongolia yang berada
di ranking ke-189 dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Khamis lepas.
Sementara itu, Cheng Hoe berkata pemain-pemain
sedia ada ini akan dikekalkan untuk aksi ke atas pasukan ke-188 dunia, Bhutan
di Stadium Nasional pada Ahad ini, kerana barisan kejurulatihan berpuas hati
dengan aksi dipamerkan pemain-pemain tersebut.
"Perlu bagi pujian kepada sebahagian besar
pemain yang pertama kali bersama pasukan kebangsaan dan bermain dalam
perlawanan besar.
Bukan mudah, tetapi atas keyakinan dan kepercayaan, barisan
jurulatih yang beri peluang kepada mereka dan mereka balas dengan prestasi
baik* Kami harap pemain-pemain tersebut dapat kekalkan prestasi konsisten
sepanjang tahun ini.
"Walaupun keputusan kurang positif, tetapi
kita nampak perubahan positif dari segi corak permainan yang boleh menguasai
permainan dan beberapa serangan yang kita hampir jaringkan gol. Jikalau kita
ambil peluang tersebut, kita boleh sekurang-kurangnya seri atau
sebaliknya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan