TUNKU Ismail (kiri)
ketika sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FMLLP, di Thistle,
Johor Bahru. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
JOHOR BAHRU: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia
(FMLLP) tetap mengenakan hukuman pemotongan mata ke atas 10 pasukan yang gagal
melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagaimanapun
menjelaskan badan pengelola Liga M itu menangguhkan hukuman terbabit sehingga
tempoh pendaftaran pemain baharu musim depan iaitu pada penghujung tahun ini.
Malah, Tunku Ismail menjelaskan pasukan berkenaan turut diberi
tempoh 14 hari bermula hari ini untuk mengemukakan rayuan bagi mengurangkan
hukuman itu.
“Kita tidak terus memotong mata, sebaliknya ia masih kekal dan
sebab itu kita namakan penangguhan hukuman pemotongan mata (suspended point).
“Kita beri ruang untuk 10 pasukan terbabit memperbetulkan apa
yang patut diperbetulkan. Namun jika tiada perubahan bermakna mata
akan dipotong,” kata Tunku Ismail pada sidang media selepas mesyuarat Ahli
Lembaga Pengarah FMLLP di sini, hari ini.
Berdasarkan penjelasan FMLLP, pasukan berkenaan berada dalam
‘pemerhatian’ sehingga tempoh pendaftaran pemain baharu musim depan dan
sekiranya mereka melakukan kesalahan seperti tidak membayar gaji pemain,
hukuman pemotongan mata itu secara automatik akan berjalan.
Sekiranya pasukan tidak melakukan kesalahan, mereka akan bebas
daripada hukuman berkenaan selepas tarikh pendaftaran pemain baharu musim
depan.
Bagi tempoh rayuan 14 hari pula, FMLLP menjelaskan ia sebagai
memberi ruang kepada pasukan terbabit untuk merayu dikurangkan hukuman.
Namun, berapa jumlah mata yang akan dipotong dijangka diketahui
esok selepas surat rasmi diberikan kepada pasukan berkenaan.
Pada 19 Februari lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga
Super termasuk Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC serta enam dari
Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC
tidak melengkapkan pendaftaran atau menghantar dokumen pendaftaran melepasi
tarikh akhir pada 3 Februari.
Dalam pada itu, Tunku Ismail mengesahkan nama pasukan `feeder'
yang diguna pakai membabitkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Johor
Darul Ta'zim II (JDT II) dan Terengganu FC (TFC) dengan Terengganu FC II (TFC
II) ditukar kepada pasukan simpanan (reserve team).
"Buat masa ini hanya dua pasukan sahaja yang mempraktikkan
konsep pasukan simpanan iaitu JDT dan Terengganu FC.
"Dalam mesyuarat itu juga dipersetujui berkenaan
syarat-syarat berhubung penajaan yang bakal dibawa masuk tidak lama lagi dan ia
terarah kepada penambahbaikan semua fasiliti terutama program akar umbi,"
kata Tunku Ismail.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan