TUNKU Ismail ketika
sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FMLLP, di Thistle, Johor
Bahru.NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
JOHOR BAHRU: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia
(FMLLP) merancang menggubal perlembagaannya pada kongres tahunan yang akan
diadakan 25 Mac ini.
Langkah itu dilihat mampu membangunkan Liga Malaysia (Liga M) ke
arah lebih dinamik dan efisien dalam usaha meningkatkan lagi kualitinya apabila
presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan lagi dilantik automatik sebagai
pengerusi FMLLP.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, usul
menggubal perlembagaan itu akan dikemukakan dalam mesyuarat kongres itu.
Tambahnya, pencalonan jawatan pengerusi FMLLP juga akan
dilakukan sekiranya perlembagaan itu diluluskan kesemua 24 pihak berkepentingan
(stake holder) yang bernaung di bawah badan itu.
"Apapun, ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat
oleh 24 pihak berkepentingan. Ketika ini perlembagaan sedia ada menetapkan
pengerusi FMLLP adalah presiden FAM.
"Untuk kita bergerak lebih profesional, kita mahu 24
pasukan dalam FMLLP boleh mengundi dan memilih pengerusi sendiri," katanya
pada sidang media selepas mesyuarat pengelola Liga M itu di sini hari ini.
Kevin berkata, sekiranya pemisahan di antara FAM dan FMLLP
dilaksanakan sepenuhnya, maka akan ada perubahan yang menyaksikan perjalanan
liga akan bergerak secara berdikari.
Tambahnya, ia hasil cetusan Pengerusi FMLLP merangkap Presiden
FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu melihat segala perancangan yang
dilakukan selari dengan apa yang dilaksanakan di liga luar negara.
Beliau berkata, ahli berkepentingan boleh memilih sesiapa sahaja
yang lebih layak dan bukan lagi daripada persatuan kebangsaan, malah inisiatif
itu juga permulaan dalam melaksanakan agenda pemisahan politik dan bola sepak
yang sering dibangkitkan Tunku Ismail.
"Isu ini berlaku dalam persatuan bola sepak setiap negeri
di mana sesuatu pemilihan biasanya akan memilih menteri besar terus menjadi
presiden persatuan.
"Jadi, Tunku Ismail sudah lama menegaskan beliau mahu
pisahkan politik dengan bola sepak dan saya rasa ini satu langkah yang baik
menerusi pengundian tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
"Jelasnya, pemilihan pengerusi akan dipilih daripada suara
majoriti dan sekiranya Tunku Ismail dicalonkan lagi, beliau akan memegang
jawatan tersebut dengan kapasiti pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT)
dan bukannya presiden FAM," kata Kevin.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan