AHLI Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi
sebulat suara menerima peletakan jawatan Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
daripada badan induk itu.
Keputusan dicapai menerusi Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM Bagi
Penggal 2017-2021 itu turut menyaksikan, Timbalan Presiden, Datuk Wira Yusoff
Mahadi dilantik sebagai pemangku Presiden seperti yang disyorkan oleh Tunku
Ismail sebelum ini.
Yusoff, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka
United (MUSA) bakal memikul tugas selaku pemangku sehingga pemilihan baru pada
Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai depan.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin
juga mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Presiden pada Kongres itu
selepas mendapat sokongan penuh daripada Exco FAM.
Mesyuarat Khas FAM kali ini mendapat tumpuan meluas selepas
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail mengumumkan peletakan jawatan genap
setahun beliau dilantik sebagai Presiden Badan induk itu pada 25 Mac lalu.
Biarpun
tidak bersama FAM, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menerima
pelantikan sebagai Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), pada hari yang sama
peletakan jawatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan