TIADA drama dipentaskan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini
apabila seperti dijangka, ahli Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebulat
suara menerima peletakan jawatan Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Keputusan menerusi Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM Bagi Penggal
2017-2021 itu turut menyaksikan, Timbalan Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi
dilantik sebagai pemangku Presiden seperti yang disyorkan oleh Tunku Ismail
sebelum ini.
Semua berjalan lancar meskipun pada awalnya ada juga kemungkinan
wujudnya perebutan posisi itu antara Yusoff dan seorang lagi Timbalan Presiden,
Datuk Seri Subahan Kamal.
Yusoff, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United
(MUSA) bakal memikul tugas selaku pemangku sehingga pemilihan baru pada Kongres
FAM ke-54 pada 14 Julai depan.
Sementara itu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga
mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Presiden pada Kongres itu nanti
selepas mendapat sokongan penuh daripada Exco FAM.
Mesyuarat Khas FAM kali ini mendapat tumpuan meluas selepas
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail mengumumkan peletakan jawatan genap
setahun beliau dilantik sebagai Presiden Badan induk itu pada 25 Mac lalu.
Biarpun
tidak bersama FAM, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menerima
pelantikan sebagai Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada hari yang sama
peletakan jawatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan