KETUA Jurulatih
Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan letakk sasaran tinggi apabila menentang
Bhutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok. - Foto
BERNAMA
zulfaizan@nstp.com.my
KELANA JAYA: Tan Cheng Hoe enggan meletakkan sasaran meraih
kemenangan besar ke atas Bhutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional
Bukit Jalil, esok, biarpun lawannya itu hanya dibarisi pemain separuh
profesional.
Sebaliknya, pengendali pasukan kebangsaan itu berkata dia lebih
fokus untuk menamatkan badi tanpa kemenangan yang masih membelenggu skuad
Harimau Malaya dalam 12 perlawanan terakhir.
Sehubungan itu, bekas jurulatih Kedah itu menuntut anak
buahnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan itu selain berwaspada
dengan kejutan mungkin dilakukan pasukan di ranking ke-188 dunia itu.
"Apa yang penting kita harapkan kemenangan. Bukan
kemenangan besar kerana setiap perlawanan adalah berbeza. Jadi, saya harap
pemain tidak memandang mudah terhadap kemampuan Bhutan.
"Kita dahagakan kemenangan kerana sudah lama kita tidak
menang dalam perlawanan di peringkat antarabangsa. Saya harap pemain boleh
teruskan momentum seperti ditunjukkan ketika berdepan Lubnan tempohari,"
kata Cheng Hoe pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),
di sini, hari ini.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan adalah
ketika menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi peringkat kumpulan dalam saingan Piala
AFF Suzuki di Yangon, 20 November 2016.
Selepas itu, prestasi suram terus membelenggu pasukan kebangsaan
apabila berdepan sembilan kekalahan selain tiga seri termasuk pada aksi
kelayakan Piala Asia 2019 dan persahabatan antarabangsa.
Perlawanan berdepan Bhutan yang dianggap sebagai pasukan
belasahan dilihat menjadi medan terbaik untuk Malaysia menamatkan badi tanpa
kemenangan.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata, beliau tidak akan melakukan
banyak pertukaran pemain seperti ketika aksi terakhir kelayakan Piala Asia
berdepan Lubnan, Selasa lalu.
"Kemungkinan saya hanya akan buat dua atau tiga perubahan
saja, bukan semua kita tukar. Kita juga akan beri peluang kepada pemain yang
belum beraksi pada pertemuan dengan Lubnan tempoh hari," katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan