PENGENDALI skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tetap akan memberi
kepercayaan kepada pemain tempatan berkualiti walaupun buat julung kalinya
pemain-pemain berdarah campuran mampu membentuk sebuah pasukan untuk mewakili
negara.
Dengan 14 pemain naturalisasi sedia untuk dipanggil, Cheng Hoe
tidak akan mengetepikan pemain kelahiran Malaysia menjelang pertemuan dengan
Mongolia dan Lubnan bulan depan.
Daripada 14 pemain berdarah campuran yang diberikan kerakyatan
Malaysia, hanya Matthew Davies, Brendan Gan, Khair Jones, Kiko Insa dan
Darren Lok pernah menyarung jersi kebangsaan Harimau Malaya.
Tetapi menurut Cheng Hoe, ia sesuatu yang tidak realistik untuk
memanggil kesemua 14 pemain itu ketika ramai pemain tempatan mempunyai tahap
keupayaan yang sama.
“Ia satu idea yang baik untuk membawa masuk pemain naturalisasi
ke dalam pasukan tetapi jika pemain tempatan sama bagus, saya tidak boleh
mengetepikan mereka. Penyelesaian terbaik ialah skuad campuran pemain tempatan
dan naturalisasi,” kata penolong jurulatih yang dilantik mengisi
kerusi panas itu pada Disember selepas Nelo Vingada meletak jawatan.
Cheng Hoe sedang mempertimbangkan untuk memanggil gandingan
Johor Darul Ta'zim (JDT) Natxo Insa dan bek kiri La'Vere Corbin-Ong, untuk
perlawanan persahabatan menentang Mongolia pada 22 Mac dan aksi kelayakan Piala
Asia di Lubnan lima hari kemudian.
Namun Cheng Hoe berkata pemilihan sebenar bergantung kepada aksi
pemain ketika mewakili kelab masing-masing.
"Masih ada beberapa minggu sebelum panggilan pertama dan
pemain-pemain yang mempamerkan prestasi terbaik dalam liga akan diberi
keutamaan untuk mewakili negara,” kata Cheng Hoe yang juga berminat memanggil
pemain muda dari skuad Kejuaraan AFC bawah 23 di China bulan lalu.
"Pemain
naturalisasi mungkin tidak mempunyai banyak pengalaman di peringkat
antarabangsa tetapi mereka mempunyai pengalaman berharga beraksi di Eropah dan
negara asal mereka. Ia akan memberi kelebihan buat kita jika mereka dipanggil.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan