SYAMER Kutty Abba (kanan) giat jalani latihan
bersama kelab liga divisyen tiga Portugal, Vilaverdense FC dan sedia menunggu
peluang untuk beraksi. - Foto Vilaverdense FC
KUALA LUMPUR: Pemain muda negara, Syamer Kutty Abba bersedia
menunggu peluang untuk beraksi di Vilaverdense FC walaupun sudah lebih dua
minggu berlatih bersama kelab liga divisyen tiga Portugal itu.
Katanya, sehingga kini dia dan rakannya Dominic Tan masih lagi
dalam proses menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan pasukan itu.
"Alhamdulillah, setakat ini semua dalam keadaan baik,
intensiti latihan di sini agak tinggi tapi aspek lain kebanyakan agak sama
saja. Cuma cuaca di sini juga sejuk, jadi kami kena biasakan diri,"
katanya.
Syamer dan Dominic yang
masing-masing berusia 20 tahun berkelana di Portugal selepas dipinjamkan selama
setahun oleh kelabnya Johor Darul Ta'zim (JDT) bulan lalu.
DOMINIC Tan (kiri)
berkelana di kelab liga divisyen tiga Portugal, Vilaverdense FC selama setahun.
- Foto Vilaverdense FC
Kedua-dua pemain ini adalah tonggak skuad bawah 23 tahun negara
(B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika meraih pingat perak Sukan SEA Kuala
Lumpur 2017 dan layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China.
Sebelum ini, Nazmi Faiz Mansor menjadi pemain Malaysia pertama
beraksi dengan kelab utama Portugal, SC Beira-Mar selama tiga tahun namun
pemain tengah itu hanya mampu bertahan selama enam bulan sebelum kembali semula
ke tanah air.
Syamer yang berasal dari Pulau Pinang mengakui cabaran dilalui
di sini namun akan berusaha untuk menimba pengalaman seberapa banyak yang
boleh.
"Di sini, jurulatih (António Barbosa) akan bantu saya dalam
komunikasi. Sekarang liga sudah bermula, sudah separuh musim jadi bukan mudah
untuk kami mendapat tempat dalam pasukan. Saya mahu menimba ilmu di sini dan
memperbaiki prestasi sendiri.
"Saya akan buat sehabis baik dan terserah kepada jurulatih
untuk tentukan," kata pemain tengah itu.
Selepas 20 perlawanan liga, Vilaverdense yang berpangkalan di
Braga kini menduduki tangga ketiga Kumpulan A dengan mengumpul 39 mata dan
terbaru mereka menewaskan Aroes 3-1, Sabtu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan