KUALA LUMPUR: Skuad
kebangsaan bakal peroleh peluang terbaik apabila diberi kesempatan menguji
pasukan dari Eropah, Ukraine dalam satu aksi persahabatan kelas A selepas ini.
Perkembangan itu diumumkan
menerusi laman sosial JOHOR Southern Tigers susulan pertemuan antara Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menerima
mengadap Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo, hari ini.
"Tunku Mahkota Johor,
Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima mengadap Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo
hari ini. Pertemuan ini bagi membincangkan jalinan kerjasama hubungan antara
Ukraine dan Malaysia melalui bola sepak.
"Turut dibincangkan
adalah mengadakan perlawanan persahabatan kelas A antara pasukan kebangsaan
Malaysia dan pasukan kebangsaan Ukraine di bawah bimbingan legenda bola sepak
Ukraine, Andriy Shevchenko.
"Ia sebagai pendedahan
kepada pasukan kebangsaan dan juga dapat membantu menaikkan kedudukan pasukan
kebangsaan di dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),"
kata kenyataan terbabit.
Sebagai rekod, Ukraine kini
menghuni tangga ke-35 dunia dan layak ke saingan Piala Dunia sekali iaitu pada
2006 namun berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir sekali gus pencapaian
terbaik mereka pada kejohanan terbesar dunia itu.
Pasukan yang terkenal
dengan julukan 'Kuning Biru' itu turut beraksi dalam dua edisi Kejohanan Eropah
iaitu pada 2012 dan 2016 namun sekadar menamatkan saingan di peringkat
kumpulan.
Antara beberapa pemain
ternama Ukraine yang sedang menempa nama dalam dunia bola sepak termasuklah
Andriy Yarmolenko yang beraksi bersama Borussia Dortmund, pemain sayap Schalke
04, Yevhen Konoplyanka dan juga penjaga gol Shakhtar Donetsk, Andriy Pyatov.
PRESIDEN FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
(kanan) bersama Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo. - Foto JOHOR Southern
Tigers
Tiada ulasan:
Catat Ulasan