KETUA jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong
Kim Swee bukan hanya memberi fokus kepada skuad utama Atletico Madrid,
sebaliknya akan turut ‘mengkaji’ struktur pembangunan akademi dan skuad belia
kelab Sepanyol itu.
Kim Swee dan penolongnya, Brad Maloney berlepas ke Madrid awal
pagi tadi untuk berguru selama sebulan di bumi Sepanyol hasil kerjasama baik
antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan La Liga.
Selain menimba ilmu bersama Atletico Madrid, Kim Swee dan
Maloney juga dijangka melihat sendiri bagaimana persediaan pasukan kebangsaan
Sepanyol dengan skuad La Roja dijadualkan berdepan Jerman dan Argentina dalam
aksi persahabatan, bulan depan.
“Sejurus tiba di sana kami akan bersama Atletico Madrid terlebih
dulu dan pada pertengahan Mac, kami juga berpeluang untuk melihat sendiri skuad
kebangsaan Sepanyol bagi aksi perlawanan persahabatan antarabangsa.
“Malah, kehadiran Brad bersama saya juga bakal memudahkan lagi
tugas di sini (Sepanyol) kerana banyak perkara yang akan dilakukan bagi mencapai
objektif FAM dan presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Ketika ke Queens Park Rangers (QPR) tahun lalu pun saya bersama
Brad dan saya fikir kali ini juga kami boleh membahagikan tugas dengan lebih
baik terutama apabila ada sesi yang mungkin serentak,” katanya.
Peluang keemasan itu diberikan FAM kepada Kim Swee selepas
beliau berjaya mengemudi skuad B-23 mencipta sejarah apabila mara hingga ke
suku akhir Kejohanan AFC di China, bulan lalu.
Selain itu, Kim Swee menjelaskan, tugas untuk memantau perkembangan
pemain muda di Malaysia akan diserahkan kepada tiga lagi pembantunya, Khan Hung
Meng, Chris Yong dan Reuben Jude.
Katanya, skuad muda negara akan mengharungi aksi persahabatan
yang turut menjadi sebagai persediaan untuk Sukan Asia di Palembang dan Jakarta
pada Ogos ini.
“Kami sudah mula memantau skuad Piala Presiden minggu lalu dan
ia akan diteruskan oleh Hung Meng, Chris dan Reuben. Mereka akan memantau dan
memanggil pemain pada 18 Mac di mana penilaian peringkat pertama membabitkan
pemain B-21.
“Saya
akan pulang ke tanah air pada 25 Mac ini dan selepas itu akan mengadakan sesi
bersama barisan pemain sebelum aksi persahabatan pada 27 Mac,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan