BEKAS penjaga gol
kebangsaan, Chow Chee Keong (kanan) pernah beraksi menentang legenda Brazil,
Pele (kiri). - Foto fail
MUNGKIN ramai yang tidak tahu, bekas penjaga gol kebangsaan,
Chow Chee Keong yang menghembuskan nafas terakhir, pagi tadi menjadi satu-satunya
pemain negara yang pernah berkongsi padang bersama legenda bola sepak dunia,
Pele.
Penghormatan beraksi menentang pemain terhebat dunia itu diraih
mendiang dalam satu aksi persahabatan bertemu skuad kebangsaan Brazil sekitar
tahun 1970-an ketika mewakili Hong Kong Rangers.
Kehebatannya dalam menjaga
gawang gol dan susuk tubuhnya yang tinggi lampai menyaksikan mendiang diberi
julukan 'Gerbang Besi Tanpa Karat Asia' dan 'Pedang Gila' selain turut dipilih
sebagai antara penjaga gol terbaik Asia bagi abad ke-20 oleh Persekutuan Sejarah
Bolasepak dan Statistik Antarabangsa (IFFHS).
Chow Chee Keong yang
dilahirkan pada 26 November 1948 mula menyarung jersi skuad bawah 20 tahun
(B-20) negara ketika berusia 13 tahun.
Mendiang kemudiannya muncul
sebagai antara pemain termuda membarisi skuad utama kebangsaan apabila berjaya
berbuat demikian dua tahun kemudian ketika baru berusia 15 tahun.
Mulai 1965, namanya mula
masyhur apabila dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik Konfederasi Bola Sepak
Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut bermula dari tahun 1966 hingga 1970.
Chee Keong sempat bermain
di beberapa kejohanan besar seperti Pestabola Merdeka dan Kelayakan Piala Dunia
pada era 80-an.
Namanya mula 'naik' di Hong
Kong selepas mewakili Hong Kong Rangers FC bagi tiga perlawanan sebagai pemain
undangan dan pada 1970, kelab Jardines mendapatkan khidmatnya dengan bayaran
HKG$2,500 sebulan sebagai pemain profesional yang juga rekod ketika itu.
Mendiang kemudian menyertai
kelab South China AA selama tiga musim dan pada 1974, berpindah ke Tung Sing
sebelum kembali ke South China dan tiga tahun kemudian menyertai Hong Kong
Rangers FC.
Chee Keong kemudian kembali
ke Malaysia pada 1980 dan membantu pasukan negara muncul naib juara Pestabola
Merdeka selepas tewas kepada Maghribi 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium
Merdeka.
Hampir menyertai pasukan
dari Brazil, Cruzerio FC namun Chee Keong perlu mendapatkan kerakyatan Brazil
terlebih dahulu, akhirnya perancangan tidak menemui kata sepakat dan dia
terlepas peluang beraksi di Brazil sebelum mendiang mengambil keputusan bersara
pada 1985.
Chee Keong menghembuskan
nafas terakhir kira-kira jam 7 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)
akibat kanser pundi kencing.
Beliau meninggalkan isteri,
Christina Kwok, 64, dan seorang anak, Adrian.
Biodata Chow Chee Keong
Nama penuh: Chow Chee Keong
Tarikh lahir: 26 November
1948
Tempat lahir: Malaysia
Tarikh meninggal dunia: 21
Februari 2018
Tinggi: 180 sentimeter (cm)
Posisi: Penjaga gol
Gelaran: Gerbang Besi Tanpa
Karat Asia, Pedang Gila
Karier awal: Selangor
Pasukan terdahulu:
1967-1968: Bedford Town
1970: Hong Kong Rangers
1970-1971: Jardine
1971-1974: South
China
1974-1977: Tung Sing
1977-1979: South
China
1981: South China
1981-1982: Hong Kong
Rangers


Tiada ulasan:
Catat Ulasan