KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong
Kim Swee memuji sikap pemain muda, M Kavishkumar yang berani mencuba nasib
menyertai kelab Jepun, Tokai FC.
Beliau berkata, kesungguhan Kumar itu sesuatu yang wajar dicontohi
pemain muda lain untuk menimba pengalaman di luar negara.
“Ini satu perkembangan yang baik untuk pemain muda mencari kelab di
luar untuk menimba pengalaman. Biarpun bukan bersama kelab ternama tapi kita
tahu sistem bola sepak di Jepun antara terbaik di Asia.
“Kita mahukan lebih ramai pemain ke luar negara dan tidak hanya berasa
selesa di negara sendiri,” katanya ketika menjadi tetamu Program Kapsul Liga
Malaysia (Liga M) di Balai Berita NSTP, hari ini.
Kumar, 21, mengikat kontrak setahun dengan kelab Liga Prefektur Jepun
(JPL) yang berstatus semi-pro di Nagoya, selepas berjaya dalam sesi percubaan
hujung tahun lalu.
Pemain berasal dari Cheras dan bermain dengan kelab Victoria
Institution FC sebelum ini turut ditawarkan tempat dalam skuad Piala Presiden
Kuala Lumpur dan dipanggil bagi sesi percubaan dengan FELDA United namun tetap
memilih ke Jepun.
Berdasarkan usianya yang masih muda dan layak beraksi dalam pusingan
kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 tahun depan, Kim Swee
memberi jaminan memantau perkembangan Kumar dan pemain lain.
“Saya belum mengetahui sejauh mana kemampuan Kumar tapi akan cuba
menilai prestasinya. Ketika ini kami sedang mengumpul data pemain B-21 sebelum
dipanggil untuk menyertai latihan pusat.
“Saya masih terbuka dalam pemilihan pemain ke pusingan kelayakan itu
dan Sukan Asia di Indonesia nanti. Saya akan memilih pemain terbaik ke
kejohanan ini,” katanya.
Ketika ini, pemain B-23 Johor Darul Ta’zim (JDT), Dominic Tan dan
Syamer Kutty Abba kini berada di kelab Portugal, Vilaverdensen FC sebagai
pemain pinjaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan