KUALA LUMPUR: Empat pasukan Liga Super iaitu Kelantan, Perak,
Melaka United dan PKNS FC kemungkinan berdepan tindakan Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa (FIFA) apabila dikatakan masih lagi mempunyai kes tunggakan gaji
pemain yang belum diselesaikan.
Maklumat mengenainya tersebar di laman media sosial, semalam
dengan Kelantan didakwa mempunyai empat kes dengan FIFA dan dua kes yang sudah
dilaporkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Melaka (dua kes
FIFA), Perak (satu kes FIFA) serta PKNS (1 kes FIFA dan 1 kes
FAM).
Dua lagi pasukan Liga Super, Pahang hanya mempunyai satu kes
tunggakan gaji dengan FAM manakala PKNP FC dua kes.
Selain itu, pasukan Liga Perdana juga tidak terkecuali dengan
Kuantan FA berdepan kes lebih berat dengan enam kes dibawa ke FIFA dan 21 kes
FAM, Sarawak (satu kes FIFA, 2 kes FAM), Pulau Pinang (satu kes FIFA dan tiga
kes FAM) dan FELCRA FC (dua kes FAM).
Pasukan Piala FAM, ATM juga dikatakan mempunyai satu kes dengan
FIFA manakala Perlis (dua kes FIFA dan 1 kes FAM).
Kes yang disenaraikan dikatakan masih menunggu keputusan
daripada FIFA dan ada daripadanya sudah diputuskan seperti kes membabitkan
Kuantan FA yang diarahkan oleh Jawatankuasa Status FAM untuk melunaskan
tunggakan gaji berjumlah RM145,250 kepada enam pemain sebelum 15 Januari lalu.
Difahamkan ada juga kes membabitkan tuntutan pemain yang tidak
mengikut kontrak yang ditandatangani atau persetujuan penyelesaian bersama
sehingga mendorong pasukan atau kelab terbabit enggan membuat
bayaran.
Sementara itu, pengurus PKNS, Mahfizul Rusydin Abd Rashid
mengesahkan PKNS masih mempunyai kes dengan FIFA berhubung tuntutan gaji oleh
bekas pemain import dari Argentina, Lucas Espindola tetapi sehingga kini masih
menunggu keputusan.
"Ia kes sebelum ini, kami memiliki dokumen lengkap
berhubung tuntutan pemain berkenaan, jadi kami tidak ada masalah, kami hanya
menunggu maklum balas daripada FIFA," katanya ketika
dihubungi.
Tahun lalu, empat pasukan Liga Malaysia, Kelantan, T-Team,
Perlis dan ATM dikenakan hukuman pemotongan mata oleh Perkongsian Liabiliti
Bolasepak Malaysia (FMLLP) kerana masalah pendaftaran pasukan yang turut
membabitkan tunggakan gaji pemain.
Pada November 2015, Pahang
menerima padah apabila dipotong enam mata oleh FAM selepas kes tunggakan gaji
pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji dibawa ke pengetahuan FIFA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan