DATUK Ong Kim Swee dan
penolongnya, Brad Maloney akan berguru selama sebulan di bumi Sepanyol. - Foto
Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun
negara, Datuk Ong Kim Swee bukan hanya memberi fokus kepada skuad utama
Atletico Madrid, sebaliknya akan turut 'mengkaji' struktur pembangunan akademi
dan skuad belia kelab Sepanyol itu.
Kim Swee dan penolongnya, Brad Maloney berlepas ke Madrid awal
pagi tadi untuk berguru selama sebulan di bumi Sepanyol hasil kerjasama baik
antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan La Liga.
Selain menimba ilmu bersama Atletico Madrid, Kim Swee dan
Maloney juga dijangka melihat sendiri bagaimana persediaan pasukan kebangsaan
Sepanyol dengan skuad La Roja dijadualkan berdepan Jerman dan Argentina dalam
aksi persahabatan, bulan depan.
"Sejurus tiba di sana kami akan bersama Atletico Madrid
terlebih dulu dan pada pertengahan Mac, kami juga berpeluang untuk melihat
sendiri skuad kebangsaan Sepanyol bagi aksi perlawanan persahabatan
antarabangsa.
"Malah, kehadiran Brad bersama saya juga bakal memudahkan
lagi tugas di sini (Sepanyol) kerana banyak perkara yang akan dilakukan bagi
mencapai objektif FAM dan presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Ketika ke Queens Park Rangers (QPR) tahun lalu pun saya
bersama Brad dan saya fikir kali ini juga kami boleh membahagikan tugas dengan
lebih baik terutama apabila ada sesi yang mungkin serentak," katanya.
Peluang keemasan itu diberikan FAM kepada Kim Swee selepas
beliau berjaya mengemudi skuad B-23 mencipta sejarah apabila mara hingga ke
suku akhir Kejohanan AFC di China, bulan lalu.
Selain itu, Kim Swee menjelaskan, tugas untuk memantau
perkembangan pemain muda di Malaysia akan diserahkan kepada tiga lagi
pembantunya, Khan Hung Meng, Chris Yong dan Reuben Jude.
Katanya, skuad muda negara akan mengharungi aksi persahabatan
yang turut menjadi sebagai persediaan untuk Sukan Asia di Palembang dan Jakarta
pada Ogos ini.
"Kami sudah mula memantau skuad Piala Presiden minggu lalu
dan ia akan diteruskan oleh Hung Meng, Chris dan Reuben. Mereka akan memantau
dan memanggil pemain pada 18 Mac di mana penilaian peringkat pertama
membabitkan pemain B-21.
"Saya akan pulang ke tanah air pada 25 Mac ini dan selepas
itu akan mengadakan sesi bersama barisan pemain sebelum aksi persahabatan pada
27 Mac," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan