PERSATUAN Pemain
Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menganggap bentuk hukuman yang akan
dikenakan ke atas pemain terbabit gejala rasuah bola sepak perlu mengikut
undang-undang yang sudah ditetapkan.
Perkara itu disuarakan
presidennya, Rezal Zambery Yahya bagi mengulas cadangan bekas Timbalan Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad sebelum ini
yang meminta pemain dikenakan hukuman penjara minimum tiga tahun.
Enggan menyatakan
pendirian PFAM sama ada menyokong atau tidak mengenai cadangan itu, Rezal
bagaimanapun percaya hukuman yang tertakluk dalam undang-undang negara sudah
setimpal dengan jenis kesalahan yang dilakukan.
“Mengenai cadangan
(Ridzuan) itu, sebenarnya kami di PFAM menyerahkannya kepada undang-undang, sebab
kami tiada kuasa untuk menentukan bentuk hukuman ke atas pesalah.
ADVERTISING
“Jika undang-undang
menyatakan dia (pemain) kena hukuman itu (penjara), kami tidak boleh kata apa,
paling penting kena ikut undang-undang.
“Macam hukuman
digantung seumur hidup, ia memang sudah biasa dan pernah dijalankan sebelum
ini. Saya rasa perkara sama akan terjadi kepada mana-mana pemain yang mengambil
rasuah,” katanya.
Menerusi laporan Sukan
NSTP sebelum ini, Ridzuan menganggap hukuman lebih berat seperti penjara perlu
dikenakan ke atas pesalah rasuah bola sepak bagi memberi pengajaran kepada
pemain lain untuk tidak terjebak dalam gejala sama pada masa depan.
Walaupun hukuman
digantung seumur hidup dan dibuang daerah sudah dikenakan ke atas pemain yang
bersalah sebelum ini, namun gejala sama tetap berulang dengan kes terbaru dua
pemain Sarawak disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana
disyaki terbabit dengan aktiviti mengatur keputusan perlawanan.
Mengulas lanjut, Rezal
berkata, masih terlalu awal untuk menghukum dua pemain itu kerana kes mereka
masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Kami masih menunggu
keputusan siasatan dan buat masa ini tidak boleh menghukum mereka. Pada saya
segala usaha yang dilakukan persatuan untuk membendung masalah ini harus dipuji.
“Cuma bila ahli PFAM
didapati bersalah dan digantung seumur hidup, kontraknya juga akan terbatal,
bermakna dia bukan lagi pemain bola sepak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan