HUKUMAN penjara memang tersedia buat pemain yang didapati
bersalah terbabit dengan gejala rasuah dalam bola sepak.
Perkara itu dijelaskan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah berdasarkan kes bekas
seorang jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan yang dikenakan hukuman
penjara 15 bulan dan denda RM200,000 atas kesalahan merasuah pemainnya pada
2012.
Kamarudin yang juga seorang peguam bagaimanapun berkata, hukuman
penjara itu tetap bergantung kepada sejauh mana tahap serius kes rasuah
berkenaan.
“Hukuman terhadap pesalah rasuah dalam bola sepak terbahagi
kepada dua saluran iaitu FAM dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
Kalau FAM, mereka hanya boleh denda, gantung seumur hidup atau sebagainya.
“Tapi bagi SPRM, kalau memang terbukti bersalah mengambil
rasuah, pesalah itu boleh dikenakan denda, malah boleh pergi ke hukuman penjara
mengikut undang-undang jenayah.
“Bawah Akta SPRM ada peruntukan hukuman penjara ke atas pesalah
rasuah. Tapi ia bergantung kepada situasi sama ada kes itu berat atau tidak.
“Kalau kes kecil mungkin tidak sampai ke hukuman penjara,
mungkin denda saja,” kata Kamarudin ketika dihubungi, hari ini.
Sukan NSTP sebelum ini melaporkan bekas Timbalan Presiden FAM,
Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad mencadangkan pemain yang didapati bersalah
mengambil rasuah dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara minimum tiga tahun
sebagai langkah untuk membendung gejala sama terus berulang pada masa depan.
Berdasarkan rekod, masih belum ada mana-mana pemain yang
dikenakan hukuman penjara kerana kesalahan rasuah dengan hukuman paling berat
dikenakan adalah dibuang daerah dan digantung seumur hidup daripada terbabit
dalam aktiviti bola sepak.
Justeru, Kamarudin menyokong penuh sekiranya hukuman penjara
dikenakan ke atas pemain yang bersalah mengambil rasuah kerana hukuman
penggantungan seumur hidup dilihat tidak memberi kesan keseluruhan untuk
mengatasi masalah itu.
“Memang patut (dikenakan hukuman penjara) sebab kalau era amatur
dulu gaji pemain tak tinggi berbanding pemain sekarang yang bergaji puluhan
ribu. Kalau ambil rasuah lagi memang ‘tiada maaf bagimu’.
“Hukuman
gantung saja dilihat belum cukup untuk mengatasi masalah ini kerana kes sama
tetap berulang,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan