YUSOFF (kanan) akui
proses doping memerlukan kerjasama dengan agensi berkaitan.
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi menganggap cadangan untuk melakukan ujian
doping secara rawak membabitkan perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia perlu
dipertimbangkan.
Katanya, ujian doping itu dilihat antara mekanisme baharu dalam
mendidik pemain muda mengenai kesedaran bahaya penggunaan bahan terlarang.
"Ia cadangan yang baik dan boleh dikaji sebelum pelaksanaannya
dibuat. Ketika ini ujian doping dilakukan dalam perlawanan Liga Super dan Liga
Perdana secara rambang tapi mungkin kita boleh mulakan langkah lebih proaktif
dengan mekanisme yang sesuai.
"Cadangan itu boleh dipertimbangkan kerana saya fikir ia
boleh mengajar pemain lebih berdisiplin, pemain dididik lebih awal supaya tidak
terjebak dengan sebarang penggunaan bahan terlarang sama ada secara sengaja
atau tidak sengaja.
"Untuk melakukan doping, kita memerlukan kerjasama dengan
agensi berkaitan dan ia juga membabitkan kos, jadi semua perkara ini perlu
diambil kira terlebih dulu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Cadangan supaya FAM melakukan ujian doping bagi perlawanan Piala
Presiden dan Piala Belia disuarakan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara
(B-23), Datuk Ong Kim Swee susulan kes terbaru membabitkan penjaga gol Ahmad
Syihan Hazmi.
Syihan yang bersama skuad muda negara ke Kejuaraan
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Changshu, China bulan lalu disahkan
positif bahan terlarang metabolite methandienone menerusi ujian sampel A
dilakukan selepas perlawanan Kumpulan C menentang Iraq pada 10 Januari lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu tidak beraksi dalam empat perlawanan
dilalui skuad negara di sana dan kini digantung 60 hari daripada sebarang aktiviti
bola sepak sementara menunggu keputusan ujian sampel B.
Menurut Yusoff yang juga pengurus pasukan B-23, kes Syihan itu
adalah sesuatu yang mengejutkan memandangkan setiap pemain sentiasa diingatkan
apabila bersama pasukan.
"Saya harap pemain lebih berhati-hati, jika mengambil
sebarang ubat-ubatan atau makanan tambahan, perlu mendapat nasihat doktor.
Sebagai pemain profesional, mereka perlu tahu menjaga pemakanan dan bukan hanya
berlatih di dalam padang.
"Mungkin selepas ini
kita akan melakukan ujian doping apabila pemain melaporkan diri apabila
dipanggil menyertai kem latihan pusat," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan