BEKAS jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah
sedia mempertimbangkan tawaran melatih TFC II. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah sedia
mempertimbangkan tawaran melatih Terengganu FC II (TFC II) jika benar pasukan
itu berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Namun, Azraai mendedahkan, setakat ini 'berita' bahawa beliau
akan menyertai pasukan itu masih kekal sebagai khabar angin kerana tidak ada
mana-mana pihak dari Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang merisik
dirinya.
"Kalau ada, saya sedia pertimbangkan, bukan sahaja TFC II
tapi juga mana-mana pasukan yang berminat. Pintu saya sentiasa terbuka.
"Sejak musim belum bermula, saya membaca pelbagai cerita di
media sosial yang mengaitkan saya dengan beberapa pasukan tapi sehingga
sekarang, tidak ada satu pun yang menghubungi saya," ujar Azraai mengulas
khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan kelab dari Terengganu itu.
Spekulasi itu tercetus ekoran prestasi buruk TFC II yang kini
menghuni tangga kedua terbawah Liga Perdana selepas sekadar mengutip satu mata
daripada tiga perlawanan hasil keputusan seri 1-1 menentang Sarawak.
Skuad bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab itu dibelasah 4-0 oleh
Sabah serta tewas 0-1 kepada MISC-MIFA.
Azraai yang membawa Kedah melakukan 'double treble' pada 2007
dan 2008 yakin sentuhannya belum hilang walaupun sudah lebih dua musim tidak
mengendalikan sebarang pasukan dalam Liga Malaysia.
Malah, TFC II yang dulu dikenali sebagai T-Team bukan asing
kepada jurulatih itu kerana beliau pernah melatih pasukan berkenaan pada musim
2014.
Walau bagaimanapun Azraai menegaskan beliau tidak akan
terburu-buru menerima sebarang tawaran sebaliknya akan membuat pertimbangan
sewajarnya sebelum memberi kata putus.
"Saya hendak lihat dulu KPI (petunjuk prestasi utama) yang
diletakkan pengurusan sama ada mampu dicapai dengan pemain yang mereka miliki.
"Tapi, apa yang paling utama adalah saya diberi kebebasan
penuh untuk membentuk hala tuju pasukan termasuk pemilihan pemain kerana sama
ada berjaya atau gagal saya bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan