EMPAT pasukan Liga Super, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan
PKNS FC mungkin berdepan hukuman tegas oleh Perkongsian Liabiliti Terhad
Bolasepak Malaysia (FMLLP) apabila gagal melengkapkan dokumen pendaftaran
mengikut tarikh yang ditetapkan.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh badan
pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu, Kelantan dan Kuala Lumpur tidak
menghantar atau menghantar dokumen yang tidak betul manakala Selangor dan PKNS
FC pula lewat melengkapkan proses pendaftaran pada 3 Februari lalu.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur
(KLFA), Nokman Mustaffa, berita itu amat mengejutkan kerana beliau tidak
menyangka Kuala Lumpur antara pasukan yang ‘sangkut’.
“Ini berita yang amat mengejutkan saya, kerana sebelum ini KL
(Kuala Lumpur) tak pernah ada masalah dari segi pendaftaran apatah lagi kami
berjaya mendapatkan lesen untuk bermain dalam Liga Super pada Disember lalu.
“Kami sudah menghantar segala dokumen dan tidak tahu apa dokumen
yang masih belum lengkap. Jadi sekarang kami akan berhubung dengan FMLLP untuk
menyelesaikannya.
“Dari segi pembayaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),
cukai pendapatan juga kami ada hantar (dokumen) tapi kami akan tengok semula
jika ada yang tidak lengkap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kenyataan itu, FMLLP mendedahkan Selangor hanya
melengkapkan dokumen pada 11 Februari lalu manakala PKNS pula pada 19 Februari
lalu.
Sementara empat pasukan Liga Perdana masih tidak melengkapkan
dokumen pendaftaran iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM.
Manakala ada dua pasukan menghantar dokumen melepasi tarikh yang
ditetapkan iaitu MIFA (15 Februari), manakala pasukan UKM FC (19 Februari).
Sebelum ini FMLLP sudah melanjutkan tarikh penghantaran dokumen
sebanyak dua kali selepas tarikh asal pada 29 Disember 2017 iaitu pada 14
Januari dan kemudian 3 Februari lalu.
Tahun lalu FMLLP mengenakan hukuman pemotongan mata kepada
beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana kerana gagal melengkapkan dokumen
pendaftaran pasukan namun Nokman berharap mereka masih diberikan peluang.
“Saya
berharap FMLLP masih memberi pertimbangan kepada KL kerana kami sudah
menghantar dokumen yang diperlukan dan tidak tahu ia ada masalah. Esok kami
akan cuba menyelesaikan masalah ini dengan cuba melengkapkan segala dokumen
diperlukan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan