KUNSHAN, China 17 Jan. - Pemain negara diingatkan jangan lena dibuai pencapaian mengejut mereka apabila menjadi pasukan dari Asia Tenggara pertama mara ke suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 selepas tiga edisi.
Video oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
Jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata, ini kerana persaingan dalam suku akhir lebih sengit.
Malaysia seterusnya akan bertemu Korea Selatan di Stadium Kunshan pada Sabtu dan Kim Swee berkata perlawanan itu pastinya bukan mudah tetapi mahu pemainnya mengambil perlawanan itu sebagai peluang untuk mara lebih jauh.
“Pasukan yang kita akan jumpa dalam suku akhir nanti sudah semestinya akan memberi saingan kuat kerana kita sudah memasuki (pusingan) lapan pasukan terbaik Asia. Saya tidak nampak laluan mudah.
“Selepas perlawanan semalam saya menasihatkan pemain agar jangan terlalu meraikannya sebaliknya kembali fokus untuk menghadapi suku akhir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hotel penginapan hari ini.
Malaysia menundukkan pasukan pilihan dalam Kumpulan C Arab Saudi 1-0 untuk menamatkan persaingan peringkat awal di belakang juara edisi pertama Iraq selepas mengumpul empat mata. Malaysia sebelum itu menghidupkan peluang dengan mengikat Jordan 1-1 setelah tumpas 1-4 kepada Iraq dalam perlawanan pertama.
Skuad muda negara mara ke suku akhir hasil jaringan Daniel Amier Norhisham pada minit ke-28 dan kemudian mempamerkan disiplin tinggi untuk mengekang asakan Arab Saudi di Stadium Kunshan.
Kim Swee yang mencipta nama apabila membimbing Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 berkata, kejayaan mara ke suku akhir Kejohanan AFC adalah lebih bermakna kepadanya secara peribadi.
“Sebelum wisel penamat ditiupkan memang mendebarkan. Bagi saya, kejayaan dalam Sukan SEA 2011 cukup manis tetapi kejayaan ini lebih mengujakan dan besar kerana ini peringkat Asia,” katanya.
Ditanya apa yang dilakukannya menjelang pertemuan dengan Arab Saudi, Kim Swee berkata beliau sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada pemainnya untuk memperkuatkan keyakinan mereka.
“Pemain sudah bersama hampir sebulan bermula dari hari pertama latihan dan mereka banyak menghabiskan masa bersama, jadi mereka tahu apa yang perlu dilakukan terutamanya dalam menghadapi situasi seperti menentang Arab Saudi.
“Selepas tewas kepada Iraq, memang sukar untuk kami menerima keputusan itu namun saya memberi keyakinan dan membuatkan pemain percaya kepada diri sendiri untuk bermain dengan lebih baik (dalam perlawanan seterusnya).
“Saya selalu memberitahu kepada pemain bahawa kita ada 100 minit termasuk masa tambahan dan mungkin 100 minit itu akan menjadi sejarah untuk dikenang dan boleh diceritakan kepada anak cucu mereka,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan