KUNSHAN, China 19 Jan. - Kapten skuad bawah 23
(B-23) negara, Adam Nor Azlin melaungkan amaran bahawa Malaysia tidak akan
memberi laluan mudah kepada Korea Selatan apabila kedua-dua pasukan itu bertemu
pada suku akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Stadium
Kunshan, esok.
Walaupun Malaysia dianggap pasukan bukan pilihan
kerana Korea Selatan turun selaku naib juara 2016, namun tidak mustahil untuk
anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee menundukkan skuad Taegeuk Warriors kerana
mereka berjaya melepasi peringkat kumpulan meskipun berdepan lawan sukar.
“Kalau kami mengekalkan disiplin dan momentum
saya fikir tidak mustahil untuk kami mengatasi lawan. Bagi saya semua pemain
perlu sedar bahawa kami datang ke sini bukan sebagai penumpang, malah pemain
simpanan dan skuad utama perlu bersedia 200 peratus.
“Kami perlu bersatu untuk menghadapi lawan dan
sudah pasti perlawanan ini amat penting untuk kami dan berat tanggungjawabnya.
Kami akan bertarung hingga ke wisel penamat pastinya kami tidak boleh hilang
fokus sepanjang permainan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
kebanyakan pemain Korea Selatan mempunyai tubuh
fizikal yang lebih tinggi berbanding skuad B-23 negara namun Adam berkata
mereka boleh mengatasinya dengan perlu menggunakan kebijaksaan terutamanya
mencari ruang dan peluang.
“Kalau nak mengelak daripada bertembung dengan
lawan memang tidak boleh sebab dalam bola sepak pemain perlu berkongsi
gelanggang jadi kami fikirkan bagaimana untuk mengurangkan daripada bertembung
dengan pemain lawan.
“Kami perlu menggunakan kelajuan dan bijak
mencari ruang dan peluang untuk mengatasi lawan. Kami tidak boleh melawan
fizikal mereka begitu sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE
KUNSHAN, 18 JANUARI 2018 - Sesi latihan Skuad
Kebangsaan B23 untuk menentang pasukan Korea selatan di Padang Latihan Pusat
Kunshan, di sini, hari ini.Gambar : Aizzul A.Majid / Pem : Izmel (SUKAN) /
Fadzli (SUKAN KOSMO!)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan