CHANGSHU, China 10 Jan.
- Kecewa dan sedih. Itu perasaan Datuk Ong Kim Swee selepas melihat pasukannya
tumpas 1-4 kepada Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan C, Kejuaraan Konfederasi
Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) hari ini.
Lebih mengecewakan Kim
Swee, kesilapan pemainnya melepaskan dua gol mudah adalah punca kekalahan besar
mereka, begitupun beliau berjanji akan cuba bangkit dalam dua perlawanan
berikutnya bagi mencari tiket ke suku akhir.
“Kami kalah kepada
pasukan yang lebih bagus dan Iraq seimbang di semua bahagian. Kami cuba
memberikan saingan namun kami dibolosi dua gol mudah atas kesilapan sendiri.
“Sudah tentu saya sedih
melihat keputusan tewas 1-4 dengan dua gol dilepaskan disebabkan kesilapan
pemain saya sendiri. Perkara ini berlaku apabila pemain lambat mendapat
keyakinan dan sebaik sahaja mereka percaya kepada diri sendiri, mereka mula
memberi saingan. Kami masih boleh bersaing cuma perlu lebih berdisiplin.
“Ini baru satu
perlawanan, saya tidak akan mengaku kalah. Saya perlu mengambil perkara positif
dan perlu menganalisis semula permainan kami untuk menghadapi lawan
seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Changshu
hari ini.
Dalam perlawanan
tersebut, gol Malaysia dibolosi seawal minit kelima menerusi tandukan Mohammed
Khalid Jaffal Al-Jumaili sebelum Amjed Attwan Kadhim meledak gol kedua pada
minit ke-28 selepas Syazwan Andik Mohd. Ishak gagal mengeluarkan bola dengan
sempurna dari kawasan kotak penalti.
Kealpaan pertahanan
Malaysia terus dihukum oleh anak-anak buah Abdul Ghani Shahad apabila Alaa Ali
Mhawi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-57 sebelum Hussein Al-Saedi meledak
gol keempat pada minit ke-81 apabila bijak memanfaat kesilapan yang dilakukan
pemain tengah negara, Nor Azam Abdul Azih. Gol saguhati Malaysia diperoleh
menerusi Safawi Rasid pada minit ke-79.
Sementara itu, jurulatih
Iraq, Abdul Ghani mengakui terkejut dengan keputusan yang dicatat kerana
menyifatkan Malaysia adalah lawan yang sukar.
“Kebiasaannya perlawanan
pertama adalah sukar dan saya tidak nafikan Malaysia pasukan yang bagus
bagaimanapun saya terkejut dengan jumlah gol yang dihasilkan pemain saya.
“Saya fikir mungkin
disebabkan mereka melakukan kesilapan memberi peluang kepada pemain saya untuk
mencipta gol,” katanya.
Malaysia akan menentang
Jordan dalam perlawanan kedua pada Sabtu ini, sebelum menentang Arab Saudi,
Selasa depan. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:
Catat Ulasan