"KAMI tak rela diperlekehkan pasukan lain lagi," kata
penyerang skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Safawi Rasid selepas mereka
berjaya mengikat Jordan 1-1 pada aksi kedua Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di
Stadium Changshu hari ini.
Dia yang menyumbat gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada
minit ke-43 berkata, kekalahan besar 4-1 di tangan Iraq pada aksi pembukaan
Rabu lalu mencetuskan rasa geram mereka.
"Saya tak nak pasukan lawan daripada Asia Barat merendahkan
kita, hari ini kita sudah beri yang terbaik untuk Malaysia dan kita dapat
keputusan positif.
"Bagi saya, saya sangat puas hati dan bangga dengan rakan
sepasukan kerana dari awal hingga akhir kita bagi komitmen 100 peratus dan
permainan yang positif.
"Cuma sedikit kecewa kerana kita ada peluang baik untuk
menang, tapi sekurang-kurangnya satu mata ini menghidupkan peluang kita ke suku
akhir," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.
Jaringan penyamaan Safawi selepas Akhyar Abdul Rashid dijatuhkan
dalam kotak penalti adalah gol kedua pemain Johor Darul Ta'zim itu apabila
turut membolosi gawang Iraq pada perlawanan pertama.
Ia kebangkitan terbaik anak buah Datuk Ong Kim Swee selepas
ketinggalan satu gol apabila Jordan mendahului hasil jaringan Ward Helal Khalid
pada minit ke-43.
Dengan satu mata selepas dua perlawanan, Malaysia yang tampil
buat kali pertama di kejohanan ini masih boleh mengintai tempat ke suku akhir
dengan syarat menundukkan naib juara 2013 Arab Saudi pada perlawanan terakhir
di Kushan, Selasa ini.
"Ini kejohanan tahap tinggi jadi pemain semangat nak cipta
sejarah, Mungkin perlawanan seterusnya kalau kita menang, ada peluang ke suku
akhir.
"Insya-Allah kalau
semua pemain bekerja keras kita boleh dapat keputusan baik, tak kira siapa yang
jaringkan gol yang penting kita menang," kata Safawi.PEMAIN Malaysia B-23, Safawi Rasid (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi kedua Kumpulan C, Kejohanan AFC di Stadium Changshu, sebentar tadi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan