PENGENDALI Jordan, Iain Richard Brunskill mengakui kecewa dengan
prestasi anak buahnya selepas hajat mereka untuk mencipta kemenangan berkecai
dengan kebangkitan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) pada aksi kedua Kumpulan
C di Stadium Changshu, China hari ini.
Jordan cukup yakin untuk memungut tiga mata daripada perlawanan
ini selepas melihat skuad negara dibelasah Iraq 4-1 pada perlawanan pertama
Rabu lalu.
Malah mereka bermula baik dengan jaringan Ward Helal Khalid pada
minit ke-16 namun membenarkan skuad muda negara bangkit menerusi sepakan
penalti Safawi Rasid pada minit ke-43 untuk mencatat keputusan seri 1-1.
Brunskill mengakui, pemainnya hanya bermain pada separuh masa
pertama dan keputusan seri 2-2 menentang Arab Saudi Rabu lalu nyata
mempengaruhi mental mereka.
"Saya fikir selepas menyaksikan dua perlawanan ini,
sejujurnya perlawanan menentang Arab Saudi memberikan tekanan kepada
kami," katanya.
"Ini kerana jika kami berjaya mengekalkan kelebihan dua gol
awal (sebelum seri 2-2) pada perlawanan itu, kami tidak tertekan hari ini.
"Saya fikir pemain-pemain saya hanya 'bermain' di separuh
masa pertama. Di separuh masa pertama, kami mengawal permainan, menjaringkan
gol dan mencipta beberapa peluang.
"Malaysia pula memiliki dua peluang terbaik untuk menjaringkan
gol pada babak kedua."
Menurut Brunskill, ketiadaan Baha' Faisal Mohammad jelas
memberikan kesan kepada pasukan apabila penyerang utama itu digantung dua
perlawanan oleh AFC gara-gara masalah disiplin apabila menendang botol minuman
kepada pegawai pertandingan selepas mereka terikat 2-2 dengan Arab Saudi.
"Ketiadaan Baha juga amat dirasai dan kini, kami berdepan
ujian getir bertemu pasukan berkualiti, Iraq pada aksi terakhir kami (Selasa
ini). Saya berharap kami dapat kembali bangkit," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan