SELEPAS pasukan pilihan Arab Saudi menjadi mangsa, skuad negara
yang dilabel sebagai ‘pembunuh gergasi’ di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia
(AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun bersedia melakukan satu lagi kejutan apabila
bertemu Korea Selatan pada aksi suku akhir di Stadium Kunshan, China, esok.
Pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun mengakui ia
bukan tugas mudah berdepan naib juara 2016 itu, namun sudah bersedia menghadapi
segala kemungkinan termasuk aksi berlarutan ke sepakan penalti.
“Korea Selatan sudah biasa bermain di pentas besar, mereka sudah
meraih pelbagai kejayaan. Ia bukan perlawanan mudah dan harap pemain dapat
menyaingi kehebatan mereka.
“Memang pemain biasa bermain dengan tekanan penyokong yang ramai
tapi situasi ini berbeza, ia perlawanan lebih kompetitif. Kami datang ke sini
untuk belajar sesuatu tapi dalam masa mahu mencipta kejutan.
“Saya mahu pemain fokus sehingga wisel penamat dibunyikan,”
katanya pada sidang media kedua-dua pasukan, hari ini.
Malaysia yang tampil buat kali pertama melakar sejarah mara ke
suku akhir apabila menduduki tangga kedua Kumpulan C dengan mengumpul empat
mata hasil kemenangan 1-0 ke atas naib juara 2013, Arab Saudi, seri 1-1 dengan
Jordan dan tewas 1-4 kepada Iraq.
Kali terakhir skuad negara bertemu Korea Selatan pada perlawanan
pertama peringkat kumpulan di Sukan Asia Incheon 2014 dengan pasukan tuan rumah
itu menewaskan skuad kendalian Kim Swee 3-0.
“Kita tidak boleh membandingkan keputusan empat tahun lalu
kerana ketika itu Korea Selatan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
Sudah tentu kali ini berbeza apabila kedua-dua pasukan beraksi di gelanggang
neutral dan saya percaya kita mampu menyaingi mereka,” katanya.
Kim
Swee akan mengadakan latihan terakhir hari ini dan memberitahu masih perlu
memantau kecederaan Dominic Tan, Syazwan Andik, Irfan Zakaria, Matthew Davies
serta Syahmi Safari (demam) sebelum membuat keputusan sama ada mereka
diturunkan atau tidak esok.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan