Masalah kesihatan Adam, Thanabalan resahkan pasukan negara
CHANGSHU, China 11 Jan.
- Walaupun dihimpit kecederaan dua tonggak, Adam Nor Azlin dan N. Thanabalan,
selain dibayangi kekalahan 1-4 kepada Iraq, Malaysia sama sekali tidak akan
bermain secara bertahan apabila menentang Jordan dalam perlawanan kedua Kejuaraan
Bawah 23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sabtu ini.
Keadaan kapten dan
pemain tengah, Adam yang demam sebelum pertemuan menentang Iraq belum
menunjukkan perkembangan positif manakala penyerang, Thanabalan mengalami
masalah hamstring.
Kedua-dua pemain diturunkan
dalam kesebelasan utama semalam.
Malaysia akan berdepan
Jordan dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Stadium Changshu, dan satu lagi
kekalahan bakal menunjukkan jalan keluar lebih awal buat anak-anak buah Datuk
Ong Kim Swee.
“Adam demam sebelum
perlawanan lagi namun dia tetap mahu beraksi, manakala Thanabalan kemungkinan
besar tidak dapat diturunkan menentang Jordan.
“Bagaimanapun masih
terlalu awal untuk membuat keputusan kerana saya perlu meneliti laporan
doktor,” kata Kim Swee kepada pemberita.
Masalah terbaharu yang
dialami Kim Swee bagaimanapun tidak akan menukar fikiran pengendali kelahiran
Melaka itu untuk turun dengan corak agresif, sama seperti ketika menentang
Iraq.
Cuma kata Kim Swee,
pasukannya perlu mengurangkan kesilapan yang mampu menghukum diri.
Tegasnya, Malaysia
sebenarnya mampu memberi saingan, namun kegagalan mengutip kemenangan ketika
berdepan Iraq berpunca daripada kesilapan sendiri yang terlalu mudah membuka
ruang kepada lawan.
“Saya boleh datang ke
sini dengan corak taktikal bertahan untuk setiap perlawanan tetapi apa yang
kita boleh pelajari selain bertahan? Kita tidak boleh belajar corak permainan
yang kita inginkan.
“Bagaimanapun, saya
fikir untuk pendedahan yang lebih baik kita perlu bermula dengan corak
permainan sendiri.
“Ia terbukti berkesan
(ketika menentang Iraq), cuma kita hilang kawalan dan itu menjadi punca
kekalahan,” katanya kepada pemberita di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changshu
hari ini.
Kim Swee berkata,
anak-anak buahnya perlu kembali fokus kerana mengakui Jordan dan Arab Saudi
yang terikat 2-2 dalam aksi pertama adalah lawan setara seperti juara 2013,
Iraq.
Hari ini Kim Swee
mengadakan latihan seperti biasa tanpa kehadiran Adam dan Thanabalan yang
direhatkan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan