KUNSHAN, China 16 Jan.- Pengendali Skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee memuji semangat juang yang dipamerkan anak didiknya selepas berjaya menundukkan Arab Saudi 1-0 dalam Kejuaraan B-23 AFC di Stadium Kunshan, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara melangkah ke peringkat lapan pasukan terbaik Asia sekali gus melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara.
Lebih membanggakan penampilan kali pertama skuad negara di kejohanan tersebut yang pada mulanya tidak diberikan harapan untuk melangkah lebih jauh setelah diletakkan dalam kumpulan sukar tetapi perkara sebaliknya berlaku.
Kim Swee juga tidak menolak bahawa Malaysia sudah mampu untuk memberi saingan di peringkat lebih tinggi dan perkara itu dibuktikan dengan kejayaan skuad bimbingannya melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan tersebut.
“Keputusan yang baik dan secara keseluruhan pemain menunjukkan keberanian untuk berjuang melepasi peringkat kumpulan. Saya tidak mahu bercakap mengenai persembahan pemain pada malam ini kerana untuk perlawanan penting seperti ini keputusan menjadi keutamaan saya.
“Saya berpuas hati dengan keputusan yang dicatat dan ini merupakan detik bersejarah buat bola sepak negara kita dan juga pencapaian yang membanggakan untuk bola sepak tempatan.
“Kejayaan pada malam ini menunjukkan Malaysia boleh bersaing di peringkat tertinggi dan saya fikir kami sudah tidak kalahkan Arab Saudi untuk tempoh yang lama dan kami juga berjaya mengikat Jordan,” katanya dalam sidang media sejurus tamat perlawanan tersebut di sini hari ini.
Pemain tengah Danial Amier Norhisham diangkat sebagai wira negara selepas meledak gol tunggal pada minit ke-28, untuk membawa pasukan negara layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama.
Bagaimanapun skuad Kim Swee utuh bertahan sepanjang babak kedua dengan serangan bertali arus daripada pihak lawan yang buntu membolosi kubu pertahanan negara.
Malaysia muncul naib juara Kumpulan C dengan empat mata dan mereka akan bertemu juara Kumpulan D sama ada Korea Selatan, Vietnam atau Australia dalam aksi suku akhir pada 20 Januari ini.
Juara kumpulan C Iraq yang menewaskan Jordan 1-0, mengumpul tujuh mata dan akan bertemu naib juara Kumpulan D.-UTUSAN ONLINEPERCATURAN Jurulatih B-23 negara Datuk Ong Kim Swee berjaya merentap ego pasukan Arab Saudi dalam Kejuaraan AFC B23 China. - Aizzul A.Majid / UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:
Catat Ulasan