Skuad ‘masa depan’ ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 dalam penampilan sulung
KUNSHAN, China 16 Jan. - Kejayaan mara ke suku
akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) hanya dalam
penampilan sulung membuktikan Malaysia mampu memberi saingan di peringkat
tertinggi.
Kejayaan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mengejutkan
naib juara 2013, Arab Saudi 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C hari ini juga
memberi harapan baharu kepada peminat bola sepak Malaysia.
Rembatan cantik pemain tengah, Danial Amier
Norhisham pada minit ke-28 memastikan kemenangan Malaysia di Stadium Kunshan,
sekali gus muncul naib juara kumpulan di belakang Iraq yang menang 1-0 ke atas
Jordan.
“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini,
kami mencipta sejarah, kami membuktikan kita ada pemain yang boleh bermain
untuk mencapai kejayaan pada masa depan.
“Pemain menunjukkan karakter, kita bukan saja
mendapat keputusan baik dengan Jordan (seri 1-1) malah menewaskan Arab Saudi
yang sudah lama kita tidak melakukannya. Ini membuktikan Malaysia boleh
bersaing di peringkat tertinggi,” kata Kim Swee kepada pemberita.
Tekanan yang dirasai Arab Saudi untuk mencari
gol penyamaan turut mendorong bek kiri mereka, Hamdan Al Shamrani melakukan
kesilapan pada waktu kecederaan hingga dibuang padang.
Malaysia muncul negara Asia Tenggara pertama
layak ke suku akhir selepas Thailand terdahulu dibelasah 5-1 oleh Palestin
dalam Kumpulan B.
Selaku naib juara Kumpulan C, pasukan negara
akan bertemu juara Kumpulan D sama ada Korea Selatan, Vietnam atau Australia.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak turut mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad muda negara.
“Syabas Harimau Malaya B-23
berjaya tundukkan Arab Saudi untuk ke suku akhir AFC B-23!,” kata Perdana
Menteri dalam Twitter. AKASI Muhammad Danial Amier Norhisham menjaringkan gol tunggal perlawanan. UTUSAN/Aizzul A. Majid

Tiada ulasan:
Catat Ulasan