SITUASI sukar bakal dihadapi pengendali skuad negara, Datuk Ong
Kim Swee apabila masalah kecederaan membelenggu beberapa pemain utama menjelang
perlawanan getir menentang Arab Saudi dalam Kejohanan Bolasepak Asia (AFC)
Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Kunshan, China esok.
Penjaring dua gol negara ketika tewas 1-4 kepada Iraq dan seri
1-1 dengan Jordan, Safawi Rasid mengalami kekejangan otot, penyerang Akhyar
Abdul Rashid pula cedera di lutut manakala Dominic Tan di paha.
Malah dua pemain lagi, Syamer Kutty Abba dan Syahmi Safari
demam.
Bagaimanapun, di sebalik mengharapkan pemain berkenaan kembali
pulih, Kim Swee bersedia melakukan rombakan andai terpaksa.
"Pemain yang masih mengalami kecederaan seperti Dominic,
Safawi dan Akhyar masih belum saya dapat pastikan sama ada boleh beraksi atau
tidak, terpulang kepada keadaan mereka esok.
"Tiada apa yang merisaukan kerana kita mempunyai pemain
lain yang dibawa ke sini, 23 pemain yang dibawa mampu untuk menggalas tugas
jika pemain kesebelasan utama tidak dapat diturunkan," katanya ketika
ditemui pada sesi latihan terakhir di Pusat Arena Akiviti Sivik Kunshan, hari
ini.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu menjelaskan bahawa dua
penyerang, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan R Kogileswaran mampu mengisi tempat
Safawi dan Akhyar.
Malaysia yang tidak diberikan harapan pada awalnya masih
berpeluang untuk mara ke suku akhir pada penampilan pertama andai mencatat
kemenangan ke atas naib juara 2013 itu sambil mengharapkan Iraq yang juga juara
2013 mengatasi Jordan dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C.
Pemain negara tidak dapat menguji padang di Stadium Kunshan pada
sesi latihan rasmi hari ini, namun Kim Swee menganggap ia tidak menjejaskan
persiapan mereka.
Malah, beliau tidak mahu terlalu memikirkan sejarah baharu yang
bakal dilakar selepas membantu skuad muda negara memenangi pingat emas Sukan
SEA 2011 di Jakarta.
"Saya tak nak sentuh
pasal sejarah, saya mahu pemain tunjukkan kesungguhan seperti lawan Jordan.
Saya percaya dengan disiplin tinggi kita mampu layak ke peringkat lebih baik,"
kata Kim Swee.PENGENDALI skuad negara, Datuk Ong Kim Swee resah kecederaan membelenggu beberapa pemain utama menjelang perlawanan getir menentang Arab Saudi, esok. - Foto Aziman Rosdi

Tiada ulasan:
Catat Ulasan